Sunday, February 20, 2011

PENANTIAN KIAN BERAKHIR..

Buat anak-anak STPM 2010 SMK TATAR..esok kita semua akan mengharungi hari yang kita nanti-nantikan. Nasihat cikgu...terimalah walau apa jua keputusan...cerah, gelap, putih, hitam...dengan penuh kerelaan. Kita sudah berusaha..ALLAH yang menentukannya..semoga berjaya.

Tuesday, February 8, 2011

Tun Kudu & Tun Naja dalam SS

LATAR BELAKANG TUN KUDU

Tun Kudu ialah puteri kepada Tun Perpatih Sedang iaitu Bendahara Seri Wak Raja yang mempunyai dua orang lagi anak iaitu adik kepada Tun Kudu. Mereka ialah Tun Perak dan Tun Perpatih Putih. Tun Kudu diperisterikan oleh Sultan Muzaffar Syah yang baru sahaja menaiki takhta selepas rampasan kuasa ke atas Sultan Abu Syahid dan Raja Rekan.

Perkahwinan Tun Kudu dengan Sultan Muzaffar Syah tidak lama kerana dia diceraikan untuk dikahwinkan dengan Seri Nara Diraja Tun Ali, bapa saudara Sultan Muzaffar Syah.

Peranan

Tun Kudu secara tidak langsung mendamaikan pergeseran antara Tun Ali dengan Tun Perak. Apabila Tun Kudu menjadi isteri Seri Nara Diraja Tun Ali, sekaligus Tun Perak menjadi adik ipar Tun Ali. Pada masa yang sama, Seri Nara Diraja Tun Ali meletak jawatannya sebagai Bendahara dan menyerahkan jawatan itu kepada Tun Perak. Dengan itu peranan Tun Kudu sebagai pendamai antara Tun Perak dan Seri Nara Diraja Tun Ali. Tun Kudu juga memainkan peranan supaya Tun Perak dilantik menjadi Bendahara Melaka.
 

LATAR BELAKANG TUN NAJA

Tun Naja pula ialah puteri tunggal Tun Kudu dari perkahwinannya dengan Seri Nara Diraja Tun Ali. Tun Naja mempunyai seorang abang iaitu Tun Tahir dan seorang adik iaitu Tun Mutahir. Setelah dewasa Tun Naja diperisterikan oleh Sultan Alau’d-Din Riayat Syah dan dari perkahwinan itu mendapat Raja Mamad (Raja Muhammad) yang kemudiannya menjadi Sultan Mahmud Syah.

Peranan

Tun Naja berperanan sebagai Raja Perempuan Melaka semasa pemerintahan Sultan Alau’d-Din Riayat Syah. Tun Naja juga telah menasihatkan Sultan Mahmud Syah, puteranya supaya melantik Seri Maharaja Tun Mutahir menjadi Bendahara bagi menggantikan Tun Perpatih Putih. Jadi peranan Tun Naja ialah sebagai raja perempuan, ibu Sultan Mahmud Syah dan penasihat Sultan Mahmud Syah dalam melantik Bendahara.