Sunday, September 9, 2012

SOALAN PERCUBAAN 922/2 KMM 2012


BAHAGIAN A: Sejarah Kesusasteraan Melayu dan Kritikan Sastera

      1.    Sarjana-sarjana sastera banyak memperkatakan pembaharuan  yang dibawa oleh Abdullah Munsyi dalam kesusasteraan Melayu moden.
Berdasarkan pernyataan di atas,

(a)  Jelaskan latar belakang Abdullah Munsyi    [5m]
(b)  Bincangkan  lima  pembaharuan yang diperkenalkan Abdullah Munsyi dalam karya-karyanya.   [20m]

      2.    Dalam sejarah Kesusasteraan Melayu, bidang kritikan dapat dianggap yang termuda kelahirannya berbanding dengan genre cerpen, sajak, novel dan drama. Secara khusus, kelahiran kritikan  adalah kesan tindak balas berikutan daripada kelahiran genre yang lain.
                                    (Sejarah Kesusasteraan Melayu, Jilid 2, hal.397, DBP 1990)
Berdasarkan pernyataan di atas,

(a)  Jelaskan maksud kritikan sastera.     [5m]
(b)  Huraikan lima fungsi kritikan sastera.       [20m]
  
BAHAGIAN B :  Novel dan Cerpen

      3.    Novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur karya Keris Mas kaya dengan mesej dan pengajaran. Berdasarkan pernyataan ini, huraikan lima mesej yang terdapat dalam novel tersebut.  [25m]

      4.   Baca petikan di bawah dan jawab soalan berikutnya.
“Mana ada kawasan kosong di tepi jalan? Kalau ada pun semua tanah orang.” Suara Dak-Joh meninggi.
“ Ada, kata mereka. Aku sudah dengar.”
“Di padang sekolah? Itu saja tanah milik kerajaan.”
“Di seberangnya, kudengar. Ada dia orang sebut beberapa kali.”
“Di seberangnya? Dak-Joh terlopong bagaikan orang kedunguan. “Di perdangauan perkuburan itu?” Dia cuba menipu perasaannya sendiri.
Eh, tidak. Di…….ah, di situlah.”
Celaka! Sudah gila?”
Ongkat tidak berani mengatakan apa-apa lagi. Dia tidak berani memandang Dak-Joh. Mukanya terlalu garang. Bibirnya terdorong ke dalam rongga mulutnya. Gigi rahangnya yang tinggal dua batang mengetap bibir atasnya.
 (Dipetik daripada  Mutiara Sastera Melayu Moden,
MPM, DBP, 2003,hlm.81)

      (a)    Apakah yang dimaksudkan dengan pendangauan itu dan apakah akibatnya jika pendangauan itu diganggu?.      [5m]
      (b)    Huraikan empat nilai kemanusiaan yang terdapat dalam cerpen ini.   [8m]
(c)    Huraikan:  
                                          i.    Tiga perwatakan Dak-Joh.   [6m]
                                         ii.    Tiga perwatakan Yang  Berhormat Hamdan.   [6m]                                      
   
BAHAGIAN C  : DRAMA

Jawab satu soalan sahaja dalam bahagian ini.

5.         Baca petikan drama di bawah ini, dan jawab soalan-soalan mengikutinya.

DAHLAN : Aku tetap menurutkan kata hati, segala nasihat dari siapa pun tak bererti. (Duduk sebentar kemudian keluar. Suara orang – Inspektor Polis – mengetuk dari luar sebeng. Dahlan perlahan-lahan masuk).

INSPEKTOR : Encik .... encik .... (sambil mengetuk)
DAHLAN : Siapa? (Datang rapat ke hadapan).
INSPEKTOR : Saya dari balai polis.


(Dipetik daripada Majlis Peperiksaan Malaysia [peny], 2003. 
Drama “Lawyer Dahlan” dalam Mutiara Sastera Melayu Moden. 
Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, halaman 218)


(a)  Nyatakan empat perubahan sikap Dahlan selepas pulang dari England.     [4m]
(b)  Galurkan dua peristiwa penting sebelum Dahlan berkata: Aku tetap menurutkan kata hati, segala nasihat dari siapa pun tak bererti dan satu peristiwa penting selepas dialog tersebut.     [9m]
(c)  Shaharom Husain seringkali memperlihatkan pertentangan pendapat antara Dahlan dan Pak Hamid dalam drama ini. Huraikan tiga peristiwa yang menunjukkan situasi tersebut.      [12m]

6.         Baca petikan drama di bawah ini, dan jawab soalan-soalan mengikutinya.

HALIMI: Dalam tahun 1965, J.M.Aziz jatuh sakit dan tidak dapat melihat keadaan sekeliling. Dengan murah hati J.M.Aziz telah membenarkan saya menunjukkan gambar-gambarnya apabila beliau jatuh sakit. Tetapi, masih lagi tersenyum.

(Gambar-gambar ditayangkan. Muzik)

(Cik Lijah berjalan masuk)

Ya, dia sering tersenyum, sebab penyakit itu tidak dapat menyentuh jiwanya; Cuma tubuh badannya saja. Saya berkata kepada beliau, J.M. itu “Jiwa yang Memuji”, dan menari seperti pergerakan penari-penari “The Whirling Dervishes” yang cuba mendekati diri kepada Allah; bukan “Jiwa Merana”.


(Dipetik daripada Majlis Peperiksaan Malaysia [peny], 2003. 
Drama “Malam Ini Penyu Menangis” dalam Mutiara Sastera Melayu Moden. 
Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, halaman 247)


(a)  Nyatakan empat keadaan kehidupan J.M.Aziz selepas jatuh sakit.     [4m]
(b)  Huraikan tiga keistimewaan J.M.Aziz yang terdapat dalam drama ini.      [9m]
(c)  Bincangkan tiga pemikiran yang ingin dikemukakan oleh pengarang dalam drama di atas.                                              [12m]


BAHAGIAN D  : SAJAK

Jawab satu soalan sahaja dalam bahagian ini.

7.   Baca sajak di bawah dengan teliti dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

            Membunuh Mimpi
(sebuah pesan untuk Mayawati)
Usman Awang

Usiamu menghampiri sunti dara
mengibarkan rasa di selendang sutera
menyembunyikan malu di bilik terkunci
diselubungi rindu lagu dan tari
seribu bayang  seribu mimpi                                                5
yang manis indah kerana itulah mimpi.

Mimpi itu adalah keajaiban anugerah
tapi dialah nanti menyebabkan kau gundah
terasing di cermin kenyataan
kehidupan yang ganas dan kejam.                                      10

Sunti daraku,
jangan kau pinjam lamunanku, hati seorang ayah
yang kini kubenci sebab begitu lemah
selamanya mimpiku hidup itu serba indah.

Bunuhlah mimpi itu, anakku                                                 15
kau membunuh segala palsu
lagu dan rindu
yang selalu menipumu.

Dapatkan keberanian hidup baru
dari kekuatan hati dan ketinggian ilmu                                 20

Puisi-puisi Pilihan Usman Awang, 1987
Dewan Bahasa dan Pustaka

(Dipetik daripada MPM [peny.] 2003. teks 
Mutiara Sastera Melayu Moden, Kuala Lumpur: DBP, hlm 270 )

(a) Jelaskan maksud rangkap di bawah ini.

(i)        Mimpi itu adalah keajaiban anugerah
                        tapi dialah nanti menyebabkan kau gundah                                        
                        terasing di cermin kenyataan
                        kehidupan yang ganas dan kejam.                      [4m]

(ii)       Dapatkan keberanian hidup baru
dari kekuatan hati dan ketinggian ilmu                [3m]
                                                          
(b) Bincangkan dua persoalan dalam sajak di atas.               [6m]
(c) Huraikan tiga gaya bahasa  sertakan fungsinya                 [12m]        

8.         Baca petikan sajak di bawah dan jawab soalan mengikutinya.

Bulan Berdarah
Nahmar Jamil

Setiap kali kuintip bulan indah
setiap kali ia berubah wajah
bulan yang kukenali kini bukan bulan dulu
bulan yang kupandangi bagai ketuaan ditelan waktu.

Dulu aku bersorak gembira dan tertawa                                           5
melihat bulan kanak tidak mengenal diam
dulu aku dikejar rindu, berahi dan dendam
melihat bulan remaja mengepak gagah perkasa.

Bulan yang kukenali kini bulan Islam
bulan yang tidak mengenal geografi bumi                                        10
bulan yang tidak mengenali asyabiah putih dan hitam
bulan yang bertanah air akidah bersempadan ukhrawi.

Bulan yang dipandang kini menitis darah dan basah
menitis di negeriku, di Afghanistan, Iran, dan Iraq
menitis di setiap benua di mana berteduh pucuk aqidah                   15
aku tertanya akan hikmahnya kapan berhenti atau tidak.

Bulan berdarah menitis di tubuhku dan aku menangis
bersama rakyat Palestin, Moro, Pattani, Eritrea dan
        semua yang tergilis
aku bertarung di negeri menegakkan manhaj kedaulatan                  20
di tengah sengketa puak antara kebatilan dan kebenaran.

Bulan berdarah menitis dan aku mendepani kurun
kurun serigala menerkam mangsa seperti di Sahara Afrika
tetapi aku bangkit dengan luka tanpa mengenal putus asa
akidahku pantang dicabar meski dijejal mayat bertimbun.                 25

Bulan berdarah menitis dan mata enggan lelap
aku memimpikan arus merah bertukar arus para syuhada
apabila semua dikembalikan kepada janji padu dan tegap
janji kemenangan al-ummah di kehadiran awal keagungannya.


(Dipetik daripada Majlis Peperiksaan Malaysia [peny.], 2003. 
Mutiara Sastera Melayu Moden 
Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, halaman 294-295)



(a)  Huraikan dua gambaran kehidupan masyarakat dalam sajak di atas.    [4m]
(b)  Dengan memberikan contoh, huraikan tiga harapan yang ingin dikemukakan oleh penyajak dalam sajak di atas.    [9m]
(c)  Huraikan empat penilaian anda terhadap gaya bahasa sajak di atas.      [12]

-:SOALAN TAMAT:-

SOALAN PERCUBAAN 922/1 KMT 2012


Bahagian A (Sejarah dan Pengenalan Kesusasteraan Melayu)

1. Cerita legenda merupakan dokumentasi sosial masyarakat Melayu yang dikaitkan dengan tokoh-tokoh yang hebat.

a) Apakah maksud cerita legenda dan berikan 3 contoh karya?     [7]
b) Berdasarkan salah satu contoh karya yang anda berikan jelaskan sejauh mana ia menepati ciri-ciri sesebuah cerita legenda.  [9]
c) Apakah fungsi cerita legenda kepada masyarakat?     [9]

2. Sastera agama merupakan salah satu sastera tulisan yang mendapat tempat dalam kalangan orang-orang Melayu di nusantara.

a)    Nyatakan EMPAT  jenis/golongan cerita mengenai tokoh Islam yang terdapat dalam sastera agama tersebut.     [4]
b)    Jelaskan TIGA ciri sastera agama.       [6]
c)    Sastera agama menyenaraikan watak nabi-nabi Allah yang terkenal. Huraikan watak dan perwatakan nabi-nabi Allah yang terdapat dalam sastera Agama.  [15]

  
Bahagian B (Karya Agung)

3. Teliti petikan berikut dan jawab soalannya.
Syahdan bagindalah yang pertama-tama meletakkan “kekuningan larangan”, tidak dapat dipakai orang keluaran, dan diambil akan sapu tangan; dan tiada dapat dibuat tepi tabir dan ulasan bantal besar dan tilam, dan bungkus barang apa-apa, dan akan karang-karangan benda; dan tiada dapat diambil akan perhiasan rumah; dan lain daripada itu pun tiada juga dapat, melainkan kain, baju, dan destar, tiga perkara itu jua yang dapat dipakai. Dan larangan berbuat rumah bermanjungan bertiang gantung, tiada terletak ke tanah: dan bertiang terus dari atap, dan peranginan; dan jikalau perahu, bertingkap berpenghadapan, dan tidak dapat orang memakai penduk dan teterapan keris; sebesar-besar orang keluaran tiada dapat bergelang kaki emas, dan jikalau berkeroncong emas berkepala perak tiada boleh.                                        (Sulalatus Salatin : MPM, DBP,  A Samad Amad. hlm 74)
a) Siapakah baginda dan apakah peristiwa yang berlaku sebelum petikan di atas?      [9]
b) Apakah larangan yang terdapat terdapat di dalam petikan di atas?   [10]
c) Apakah kepentingan larangan tersebut jika dilihat dalam konteks hubungan raja dan  
    rakyat?     [6] 
4. . Teks Sulalatus Salatin banyak memaparkan unsur-unsur kritikan yang dilakukan untuk mengkritik golongan raja dan rakyat. Berdasarkan pernyataan tersebut jelaskan dengan mengemukakan contoh-contoh peristiwa yang sesuai.                                                  [25]                


Bahagian C : PROSA MELAYU TRADISIONAL

5. Teliti petikan di bawah dan jawab soalan berikutnya.
Maka Maharaja Gatotkaca pun berjalanlah lakunya seperti gunung api hendak menghanguskan alam ini rupanya. Maka segala tunggul dan panji-panji pun seperti bunga lalang berkiaran ditiup oleh angin dan segala rakyat itu berjalan terlalu banyaknya bergemerlapan rupa mahkota segala raja-raja seperti awan ditiup oleh angin yang maha keras. Demikianlah rupanya rakyat berjalan itu dan bercoraknya pakaiannya seperti bintang rupanya.
            Maka kelihatanlah Gunung Ugra Bajra. Maka segaja rakyat Maharaja Gatotkacapun turun dari udara berlindung di balik bukit itu. Maka segala rakyat raksasa itu pun sekaliannya berbuat tempat berhenti. Maka diambilnya segala batu kayu dan segala gunung dibongkarnya dan bukit dan beberapa pohon kayu yang besar-besar dicabutnya daripada hendak bangat dan matahari pun baharu terbit berayun-ayun. Maka peraduan Maharaja Gatotkaca dan Sang Bimanyu pun diperbuat dengan sebentar juga sudah.

(Dipetik daripada Majlis Peperiksaan Malaysia (peny),2003,Mutiara Sastera Melayu Tradisional, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, halaman 94)

a) Jelaskan lima gambaran kehebatan yang dimiliki oleh angkatan Maharaja Gatotkaca seperti dalam petikan di atas.     [10]
b) Buktikan bahawa hikayat ini adalah sebuah hikayat berunsur Hindu.  [15]

6.Berdasarkan Kitab Hadiqat al-Azhar wa al-Rayahin,dalam Mutiara Sastera Melayu Tradisional,

 a) Nyatakan tiga persoalan yang diutarakan dalam sastera kitab ini.  [9]
 b) Jelaskan sifat-sifat Imam Shafii r.a. dan mengapakan ia wajar anda jadikan contoh. [16]


Bahagian D : PUISI MELAYU TRADISIONAL

7. Baca puisi di bawah dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

Berkata ilmu akulah sultan,
Kerajaan aku darat dan lautan,
Jahil berseru akulah syaitan,
Ikutlah aku merata sultan.

Ilmu itu gemala sakti,                         5
Sinarnya cerah cahaya sejati,
Asal puncanya lamun didapati,
Sukar bercerai sehingga mati.

Harganya tidak dapat ternilaikan,                
Sebuah dunia belinya bukan,             10
Kuasanya bersukat digunakan,
Di laut, di darat, di rimba dan pekan.

Jasa seorang ialah taulan,                            
Teman berbeka suluh berjalan,
Jasa berhimpun ialah pengenalan,    15
Hiasan penyata polan si polan.

Bagi yang duka ia penghibur,
Ia penerang bagi yang kabur,
Ialah kandil di dalam kubur,
Lamun dengannya beramal subur.   20

Ialah penerang ke jalan syurga,
Ia pemuas tekak dan dahaga,
Ialah sungai ialah telaga,
Laut yang luas ialah juga.

Ialah alat sangat berguna,                 25
Idaman orang yang bijaksana,
Hampirnya luas pandang sejuta,
Tepinya ajal sempadannya fana.

(dipetik daripada MUTIARA SASTERA MELAYU TRADISIONAL, halaman 284-285)

a) Apakah tajuk puisi di atas.    [1]
b) Nyatakan persoalan-persoalan yang terdapat dalam puisi di atas.    [12]
c) Huraikan  EMPAT teknik penulisan  puisi tersebut.     [12]


8. Baca petikan puisi di bawah ini dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.
Kekasih
Kekasih aku seperti nyawa mulia juga,
Kekasih ia juga dengan bawa pun ia juga,
Dijauh daripada nyawa itu barang siapa,
Jika seribu tahun hidup sia-sia juga,
Yang ada serta ia bahawa itu sentiasa,
Sekaliannya kesukaan ia sedia-sedia juga,
Nyawa itu ia menghidupkan segala hati hidupan nyawa dan
            hati manusia juga membawa suka,
Hati yang menghilangkan halar kekasihku itulah yang setia
            juga,
Kekasihku itu yang menyukakan hati hidayat itu adanya,
Lagi hidayat juga bukhari itu adanya,
Serta nyawa itu ia juga,
Beruntung lagi berbahagia jua.
           
a)  Apakah jenis puisi di atas.   [1]
b)  Jelaskan unsur keindahan bahasa yang didapati daripada puisi tersebut.  [12]
c)  Huraikan empat mesej yang hendak disampaikan oleh pengarang dalam puisi tersebut [12]



-: SOALAH TAMAT :-

Wednesday, September 5, 2012

TUGASAN DI NEGERI BAWAH BAYU

Tanggal 26 Ogos hingga 30 Ogos 2012..saya dan rakan sejawat, cikgu Wan Sukeri Wan Ibrahim menerima jemputan rakan-rakan guru m/p Kesusasteraan Melayu negeri Sabah untuk sama-sama berkongsi pengalaman berkaitan teknik menjawab KM.

Perjalanan pergi mengambil masa hampir 10 jam..saya gunakan sepenuhnya masa yang ada untuk memperbaiki bahan taklimat...tak kira di mana..di airport..dalam penerbangan...peduli apa orang lain...saya dengan netbook yang banyak jasa...rasa apa yang saya sediakan selama ini..macam tak siap je...Ya Allah! Berkatilah perjalananku... permudahkanlah tugasan ini... 



Alhamdulillah...segalanya berjalan lancar. Sepanjang mengendalikan kursus bersama cikgu Wan...rakan-rakan guru sastera tingkatan 6 serta para pelajar...setia, gigih & tekun mendengar..bercerita...berbincang dan berkongsi pengalaman.



Pengalaman bermalam di Kundasang...membuatkan saya termenung memikirkan betapa indahnya ciptaan Ilahi..mengajak saya menginsafi betapa nekadnya insan bernama manusia meneruskan kehidupan...
Dalam diam..tersedar..kunjungan ke Sabah kali ini...memberi seribu erti..


Kesempatan ini..saya ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada JPN Sabah, khususnya Cik Suhani Daud dari Sektor Pengurusan Akademik yang banyak membantu..Puan Rokiah dan Puan Faridah rakan JU KMK dari Sabah..Encik Hanafi,Tok Penghulu kursus dari Tuaran..rakan-rakan guru KM yang mana ramainya selama ini saya kenali cuma di alam siber..dapat jua bersua muka..berkenal-kenalan. Kepada anak-anak pelajar KM, teruskan usaha gigih anda, saya percaya anda semua akan peroleh kejayaan yang cemerlang. Semoga perkenalan singkat antara kita semua..akan diberkati Allah. Terima kasih semua...

Tuesday, September 4, 2012

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Selamat Hari Raya kepada semua rakan-rakan guru dan anak-anak pelajar yang sering mengikuti blog saya ini. Dalam kesibukan menjalani rutin harian...sedar tidak sedar hari ini sudah tanggal 17 Syawal. Dikesempatan ini, saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf kepada semua pengikut blog saya andai terdapat salah dan silap sepanjang saya mengendalikan blog ini. SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI.