Monday, March 28, 2011

PERISTIWA WAAD YANG MEMBAWA KEPADA KONSEP DAULAT DAN DERHAKA DALAM SULALATUS SALATIN

http://cdn.apture.com/media/imgs/search_tooltip/LM-base.png
http://cdn.apture.com/media/imgs/search_tooltip/LM-text-gloss.png
http://cdn.apture.com/media/imgs/search_tooltip/LM-logo-icon.png
Konsep waad dalam teks Sulalatus Salatin adalah menjurus kepada:
1. Perkaitan konsep daulat dan derhaka
2. Akibat yang berlaku kesan daripada perlanggaran waad itu
3. Pengajaran hasil daripada perjanjian yang telah dibuat sebagai renungan.

Perkataan waad menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga halaman 1540 telah menyatakan maksud iaitu janji. Manakala perkataan janji menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga halaman 518 dapat ditakrifkan sebagai pernyataan kesediaan untuk berbuat atau memberi sesuatu. Jadi dalam petikan ini jelas bahawa sesuatu perjanjian yang telah diatur dan ditetapkan dan dipersetujui dengan rela hati oleh kedua-dua pihak terlebih dahulu antara kedua-dua belah pihak.

Dalam petikan ini dapat dilihat bahawa perjanjian telah dibuat antara Demang Lebar Daun dengan Seri Teri Buana. Permulaan kepada waad ini yang merujuk kepada petikan iaitu merupakan perjanjian yang dilakukan oleh Seri Teri Buana (mewakili golongan pemerintah atau raja) dan Demang Lebar Daun (mewakili golongan diperintah atau rakyat). Punca berlakunya waad ini adalah disebabkan oleh permintaan Seri Teri Buana yang berkehendakkan anak perempuan Demang Lebar Daun untuk dijadikan isteri. Oleh sebab itu Demang Lebar Daun terpaksa membuat perjanjian dengan Seri Teri Buana sebelum dia bersetuju bermenantukan Seri Teri Buana memandangkan kedua-dua pihak berlainan darjat dan keturunan.

Sebelum permintaan Seri Teri Buana untuk mengahwini anak perempuan Demang Lebar Daun, baginda telah berkahwin dengan wanita kebanyakan tetapi terjadi peristiwa pelik apabila wanita-wanita itu mendapat penyakit misteri. Oleh yang demikian Seri Teri Buana bertindak menghalau wanita-wanita itu keluar dari istana. Tindakan baginda telah memberi aib kepada wanita itu. Oleh yang demikian Demang Lebar Daun terpaksa membuat perjanjian dengan Seri Teri Buana bagi mengelakkan anaknya diperlakukan seperti isteri-isteri baginda yang sebelumnya di samping dapat menjaga maruah diri anak perempuannya. Dengan demikian Demang Lebar Daun telah meminta Seri Teri Buana supaya mengekalkan anak perempuanya di dalam istana dengan tidak dihalau keluar. Menurut Demang Lebar Daun dia sanggup membiarkan anaknya menjadi hamba suruhan samada di dapur atau di dalam kawasan istana yang lain daripada membiarkan anak perempuannya dihalau keluar daripada istana.

Keadaan ini disebabkan Demang Lebar Daun juga perlu menjaga maruah dirinya sebagai ayah serta maruah ahli keluarganya yang lain. Hal ini bertetapan dengan peranannya sebagai orang yang dihormati dalam kelompok kehidupan masyarakat iaitu di luar kawasan istana yang dapat difahami daripada petikan bahawa dia merupakan suara utama yang mewakili hamba rakyat. 

Selain itu hak untuk menjaga maruah diri juga turut dituntut dalam hukum syarak Agama Islam yang mengesa umatnya menjaga maruah diri kerana maruah merupakan senjata diri utama bagi perlambangan hidup seseorang yang baik. Hal ini bermakna tidak mempunyai hak untuk sesiapapun samada mempunyai kuasa atau sebaliknya bertindak melakukan sesuatu perbuatan kepada seseorang yang lain yang boleh menjatuhkan maruah diri orang itu walaupun orang itu lebih rendah status kehidupan.

Walaupun Seri Teri Buana merupakan seorang raja, baginda tidak mempunyai hak untuk menjatuhkan hukuman iaitu dengan bertindak menghalau isteri-isteri baginda yang berpenyakit misteri keluar daripada istana. Hal ini menyebabkan perkara itu bukan sahaja boleh menjatuhkan maruah diri perempuan itu tetapi ia turut memberi keaibban kepada ahli keluarganya juga. Disebabkan keadaan itu juga perempuan yang dihalau itu dan ahli keluarganya akan dipandang serong oleh masyarakat sekeliling. Kesan daripada keadaan itu perempuan dan keluarganya akan hidup dalam tekanan akibat cemuhan masyarakat sekeliling.

Oleh yang demikian dapat difahami dengan jelas bahawa tindakan Demang Lebar Daun adalah untuk menyedarkan Seri Teri Buana untuk menjadi seorang raja yang baik. Hal ini dapat dilihat apabila Seri Teri Buana perlu bijak sebagai seorang raja perlu menunjukkan sifat yang baik kepada masyarakat. Perlakuan sifat ini perlu seimbang dengan keperibadian dirinya sebagai seorang raja yang amat di hormati dalam masyarakat.

Daripada perjanjian yang dibuat oleh Demang Lebar Daun menyebabkan timbulnya konsep daulat dan derhaka. Konsep daulat dan derhaka ini telah menampakkan perbezaan golongan pemerintah iaitu raja dan golongan yang diperintah iaitu rakyat. Kupasan mengenai konsep daulat dan derhaka dapat dilihat apabila perkataan daulat menurut kamus dewan edisi ketiga halaman 276 telah membawa maksud bahagia dan kebahagian.

Selain itu daulat juga membawa pengertian kekuasaan yang tertinggi yang dimiliki oleh seorang pemerintah atau raja yang mempunyai hak menjalankan pemerintahan yang tersendiri dalam kerajaannya dan ia diakui oleh perlembagaan. Oleh yang demikian golongan raja yang berdaulat perlu disembah dan dijunjung oleh golongan rakyat yang menduduki negara yang diperintah oleh raja tersebut. Manakala perkataan derhaka menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga halaman 296 membawa maksud tidak taat atau khianat. Derhaka boleh diperlakukan kepada negara,raja,dan manusia. Perlakuan derhaka ini dapat dilihat dilakukan antara manusia dengan Allah dan manusia sesama manusia.

Manusia dikatakan derhaka kepada Allah apabila mengingkari perintah-Nya manakala manusia yang menderhaka sesama manusia dapat dilihat apabila golongan rakyat telah mengingkari perintah raja dengan tidak menumpahkan kesetiaan dan ketaatan kepada raja. Walaupun begitu Seri Teri Buana turut membuat permintaan dengan Demang Lebar Daun supaya rakyat jelata tidak menderhaka kapada raja yang diberi mandat memerintah negeri itu. Hal ini dapat dilihat rakyat perlu membiarkan raja yang tidak baik keluar untuk mencari negeri lain untuk didiami.

Dengan demikian pengekalan konsep daulat dan derhaka dapat dilakukan apabila diperlihatkan jurang taraf antara golongan raja dan rakyat. Melalui petikan klasik ini juga ada mengandungi kandungan isi perjanjian diantara golongan raja dan rakyat. Ini dapat dilihat apabila bagi golongan yang memerintah iaitu raja perlu melakukan perbuatan yang baik dan beradab sopan yang melambangkan ketertinggian budi pekerti sebagai ikutan kepada golongan rakyat. Oleh yang demikian keadaan ini membawa makna raja atau golongan pemerintah sama sekali tidak boleh melakukan kezaliman kepada rakyat kerana ia boleh mendatangkan malu dan keaiban kepada rakyat yang dizalimi.

Membuat kezaliman terhadap orang lain juga boleh mendatangkan kemurkaan daripada Allah dan perbuatan itu amat ditegah oleh syarak. Bagi golongan yang diperintah iaitu rakyat perlu menumpahkan ketaatan dan kesetiaan pemerintah walhal raja itu telah mendatangkan kecelakaan kepada rakyat. Jika perkara itu terjadi rakyat sama sekali tidak boleh menderhakai raja dan melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan kecederaan kepada raja.

Jika raja telah melakukan kezaliman kepada rakyat maka raja itu perlu mengundurkan diri daripada menjadi pemerintah dalam negeri itu. Pengunduran raja amat penting bagimengelakkan berlakunya kekecohan dan peperangan dalam negeri itu. Di samping itu pengunduran raja juga dapat memberi peluang kepada pemerintah yang lain dengan mempunyai keperibadian yang tinggi untuk menjadi pemerintah yang baik kepada rakyat dalam sesebuah negeri itu.

Hasil daripada perjanjian yang dibuat, persetujuan telah dicapai oleh Demang Lebar Daun dan Seri Teri Buana. Walaupun begitu Demang Lebar Daun turut menyatakan bahawa isi kandungan perjanjian tidak boleh dilanggar oleh kedua-dua pihak. Keadaan ini telah dinyatakan oleh Demang Lebar Daun iaitu keturunan golongan raja tidak boleh melanggar isi kandungan perjanjian kerana jika perubahan dilakukan oleh raja maka akan terjadi golongan yang diperintah iaitu rakyat akan turut berubah laku.

Jika keadaan itu terjadi kedua-dua pihak merupakan golongan yang akan dipersalahkan. Oleh yang demikian samada golongan raja atau rakyat perlu sentiasa berwaspada bagi mengekalkan keamanan dan keharmonian dalam kehidupan. Dengan itu persetujuan telah dicapai oleh kedua-dua pihak. Keadaan ini menampakkan lagi pengukuhan konsep daulat dan derhaka dalam peraturan kehidupan manusia.

Selain itu peraturan perjanjian turut melambangkan bahawa masyarakat Melayu amat kaya dengan persefahaman dan sikap bermusyawarah dalam kehidupan. Ia juga melambangkan bahawa persepakatan membawa kepada keberkatan. Walaupun demikian melalui petikan ini turut menyatakan akibat-akibat yang akan berlaku apabila adanya golongan pemerintah iaitu raja dan golongan diperintah iaitu rakyat yang melanggar isi kandungan perjanjian yang telah dipersetujui bersama.

Perkataan lain yang dispesifikkan berkaitan pelanggaaran perjanjian adalah tulah. Menurut Kamus Dewan edisi ketiga, halaman 1481 mendefinisikan kata tulah dapat dimaksudkan sebagai kemalangan yang menimpa kerana melanggar larangan. Keadaan ini disebabkan penderhakaan yang dilakukan yang boleh meruntuhkan kerajaan dalam sesebuah pemerintahan manakala bagi rakyat pula boleh menyebabkan kesengsaraan dalam kehidupan. Di dalam petikan karya ini turut menyenaraikan akibat yang akan terjadi samada golongan raja atau pemerintah dan golongan rakyat melakukan pelanggaran kepada isi kandungan waad.

Hal ini dapat digambarkan jika rakyat melakukan penderhakaan kepada raja maka Allah akan membalikkan rumah penderhaka bumbungan ke bawah manakala tiang rumah ke atas. Manakala bagi raja yang zalim akan dibinasakan negerinya. Keadaan ini menunjukkan bahawa konsep daulat dan derhaka dalam masyarakat Melayu bukan perkara remeh tetapi merupakan sesuatu yang perlu dipatuhi dan diikuti oleh raja dan rakyat.

Sebagai rumusan tentang keseluruhan perbincangan ini, konsep waad telah dapat membentuk peraturan kehidupan samada kepada golongan pemerintah iaitu raja dan juga kepada golongan yang diperintah iaitu rakyat.

No comments:

Post a Comment