Monday, March 19, 2012

STPM BAHARU

Tanggal 16-18 Mac 2012 berlangsung Taklimat Sistem Pentaksiran Baharu STPM Peringkat Kebangsaan (Kumpulan Pertama) kepada JU negeri di Pearl International Hotel, KL.

Penantian bertahun-tahun guru tingkatan 6...kini sudah jelas, perubahan sukatan yang amat ketara..sistem sedia ada bakal berakhir pada peperiksaan STPM 2012 dan diganti dengan sistem baharu. Aspek sukatan...bagi mata pelajaran Kesusasteraan Melayu...mengalami perubahan drastik. Jun 2012, pelajar tingkatan 6 yang akan mendaftar masuk, merupakan kohort pertama bagi sistem penggal iaitu penggal 1, 2 & 3. Kali ini para pelajar akan dinilai pada setiap penggal, bermakna pelajar akan menduduki tiga peperiksaan berpusat. Keputusan setiap penggal akan dikumpulkan dan disatukan menjadi 80%. Baki 20% merupakan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) yang dinilai oleh guru mata pelajaran. Seterusnya, gabungan markah penilaian berpusat & PBS...dikeluarkan keputusan penuh STPM. 

Secara teorinya..nampak lebih mudah..membantu para pelajar. Belajar dalam penggal 1, akan dinilai dalam penggal tersebut, begitulah seterusnya. Kini, tiada lagi istilah 'makan angin' @ 'honeymoon' bagi pelajar tingkatan 6 rendah..pelajar perlu membuat keputusan yang bijak, matang dan tahu implikasinya sama ada kekal di tingkatan 6 atau melanjutkan pelajaran di tempat lain. Jangan pulak bila dah 2 @ 3 bulan belajar di tempat lain...rasa susah..rasa tak boleh nak ikut, ingin merujuk kembali ke tingkatan 6...pintu buat pelajar tersebut saya rasa sudah tertutup. Apa tidaknya..apabila MPM menutup tarikh pendaftaran peperiksaan..maka pelajar tersebut tidak boleh lagi mengambil peperiksaan penggal 1. Fikir-fikirkanlah...kalau dah nak belajar, di mana-manapun susah...tak ada jalan pintas...semuanya kena susah.

Buat rakan-rakan guru sastera sekalian...janganlah kita pandang sukatan baharu ini, lebih susah daripada sebelumnya. Sungguhpun sukatan baharu... sememangnya baharu...ianya melibatkan pembaharuan yang saya rasa hampir 75% daripada yang lama..kita terimalah dengan redha, mungkin pada peringkat awal kita rasa susah..nanti lama-lama tak susah la tu. 

Yang lama...Kesusasteraan Melayu 922/1 membawa maksud untuk kertas tradisional, 922/2 pulak untuk kertas moden. Kini...namanyapun sudah baharu...Kesusasteraan Melayu Komunikatif (KMK). Kod kertas juga berubah...922/1 untuk penggal 1, 922/2 untuk penggal 2, tambahan kod yang baru 922/3 untuk penggal 3 dan 922/4 untuk tugasan PBS yang akan dilaksanakan oleh pelajar dalam penggal 2 dan 3.

Sekadar pengkongsian bersama rakan-rakan guru, penggal 1: Penghayatan Karya, merupakan gabungan kertas tradisional dan moden..dalam kata lain..macam sukatan lama, tetapi menggunakan buku teks yang baru... Permata Sastera Melayu menggantikan MSMM dan MSMT. Penggal ini..saya rasa bukan kejutan bagi kita guru-guru sastera...masih yang lama. 

Penggal 2...bermulalah cabaran buat kita. Kita harus berubah. Pendekatan kita kepada cara menjawab juga perlu berubah. Teks yang dikaji..masih kekal Sulalatus Salatin dan novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur. Kita harus mewajibkan pelajar membaca kedua-dua teks tersebut..pasti, ini juga satu cabaran buat kita sebenarnya. Sukatan penggal 2: Sastera dan Pembangunan terbahagi kepada tiga tajuk besar...tak banyakpun. Pembangunan Insan, Pembangunan Masyarakat dan Pembangunan Negara. Semoga dalam penggal ini, pelajar boleh menghuraikan konsep sastera dan pembangunan berasaskan teks yang telah dipelajari.

Penggal 3...lagi cabaran buat kita: Kreativiti, Pengurusan, dan Multimedia. Tiga tajuk besar iaitu Penulisan Kreatif, Pengurusan dan Multimedia Dalam Sastera. Semuanya baharu..guru harus menguasai ilmu-ilmu ini sebelum berhadapan dengan pelajar dalam kelas nanti. Tajuk 1: kita akan membantu pelajar menghasilkan karya kreatif dan menyunting karya. Tajuk 2: kita akan membantu pelajar menguasai prinsip pengurusan dalam organisasi sastera dan ilmu pengurusan dalam karya. Tajuk 3: kita akan membantu pelajar menguasai dan mengaplikasikan elemen multimedia dalam teks sastera terpilih.

922/4 Kerja Kursus (Kerja Projek) akan dilaksanakan dalam penggal 2 dan 3. Wajaran markah 20%...pelajar buat kerja...cikgu bagi markah. Ada tiga bentuk tugasan, pilih satu sahaja..jangan buat dua atau ketiga-tiga tugasan: Portfolio atau Esei atau Projek Multimedia. Guru akan membimbing dan memantau pelaksanaan tugasan ini. Paling penting guru harus memastikan keaslian tugasan..kesungguhan dan kreativiti pelajar sendiri bukannya tugasan yang diupah atau ciplak hasil tugasan orang lain. Akhirnya...pelajar akan membentangkan tugasan ini di hadapan guru. Cadangan Yang Berbahagia Prof. Dr. Mohamad Mokhtar Abu Hassan (JK Penggubal Sukatan KMK) masa pembentangan inilah guru harus mengajukan sebanyak mungkin soalan kepada pelajar untuk memastikan bahawa pelajar menguasai sepenuhnya tajuk tugasan yang dibentangkan.

Akhir kata...dengan kehadiran sukatan baharu ini, kita sebagai guru-guru sastera STPM diharapkan akan bersedia segala-galanya bagi menghadapi arus pembaharuan selaras dengan perkembangan semasa. Semoga kita berjaya melahirkan calon prauniversiti yang berfikiran matang, berpengetahuan luas, dan berupaya untuk menyampaikan idea secara berkesan dengan menggunakan pelbagai bentuk komunikasi.

2 comments:

  1. Ulasan yang menarik dan bermakna serta menunjukkan keupayaan apresiasi yang mendalam. Tahniah atas keprihatinan yang ditunjukkan kerana niat yang baik akan memudahkan hala tuju yang disasarkan. Bukan niat sesiapa untuk menyusahkan guru atau calon tetapi nawaitu dan keikhlasan demi memperkasakan dan memartabatkan Kesusasteraan Melayu Komunikatif di bumi sendiri. Kalau pengamal bidang sastera tidak bersedia melakukan anjakan paradigma, dikhuatiri sastera bangsa akan berkelana di bumi sendiri.

    Andai tertera mana-mana ayat atau frasa yang termuat kata akar "susah" bolehlah dianggap sebagai ungkapan senada sekadar juadah pemanis mulut, cuma usah dilanjutkan kerana dikhuatiri mendatang penyakit berjangkit. Walaupun hasrat awalnya ialah transformasi elemen sastera tulen kepada sastera gunaan, sepenuhnya, namun mengambil kira pandangan semasa maka memadai dikekalkan sebahagian kecil sastera tulennya. Walaupun pengekalan sastera tulen berskala kecil tapi penambahbaikan tetap diterapkan yang menjurus kepada "kecil-kecil cili padi" dan bersifat lebih bermakna supaya fungsi kerelevanan terhadap kewujudannya dilihat wajar.

    Menjadi tugas dan tanggungjawab pelbagai pihak untuk merealisasikan hasrat sukatan pelajaran ini terutamanya dalam kalangan warga pendidik sastera. Bak kata "sayangkan anak, tangan-tangankan", mungkin pepatah yang paling hampir untuk menterjemahkan kerangka idea itu. Semoga proses penzahiran idea itu nanti seharusnya berupaya menyampaikan maksud. Memetik komen "Semoga kita berjaya melahirkan calon prauniversiti yang berfikiran matang, berpengetahuan luas, dan berupaya untuk menyampaikan idea secara berkesan dengan menggunakan pelbagai bentuk komunikasi" boleh diibaratkan kesan juadah pencuci mulut di Hotel Pearl International KL pada 16-18 Mac 2012 untuk semua JU negeri, mudah-mudahan hendakNya.

    ReplyDelete