Sunday, June 24, 2012

SYAIR


Definisi

Keseluruhan pengkaji sependapat bahawa istilah syair berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud puisi secara umum. Dalam bahasa Melayu, istilah syair sudah menjadi satu istilah yang khusus. Syair Melayu tidak beracuankan syair daripada tradisi Arab atau mana-mana puisi Arab tetapi dalam bentuk dan acuan asli masyarakat Melayu (Harun Mat Piah, 1989). Namun, terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa syair Melayu juga dipengaruhi oleh syair atau puisi Arab (Islam)

Ciri-ciri syair

a. Setiap rangkap syair terdiri daripada empat baris serangkap. Ini bermakna tiap-tiap satu rangkap syair mengandungi jumlah baris yang tetap.
b. Setiap baris mengandungi 4 hingga 5 patah perkataan sebaris
c. Suku kata syair sebaris ialah di antara lapan hingga sepuluh jumlah suku kata.
d. Syair mempunyai skema rima akhir baris a-a-a-a
e. Dalam satu baris syair, terdapat suatu hentian (pause).
f. Tiap satu rangkap syair memerlukan beberapa rangkap syair yang berurutan untuk memberi idea yang lengkap. Dengan lain perkataan, syair adalah satu pernyataan yang berlarutan bagi mengemukakan cerita, kisah, buah fikiran, nasihat dan puji-pujian. Sebab itulah syair ada awalan dan akhirannya.

Penggolongan jenis syair

a. Syair yang berupa naratif (cerita)
i. Syair Sejarah cth. Ini Syair Potong Gaji
ii. Syair Romantis cth. Syair Jeragan Budiman dan Jauhar Manikam
iii. Syair Simbolik/Kiasan cth. Syair Perahu

b. Syair yang berupa bukan cerita (non-naratif)
i. Syair Agama cth. Syair Kiamat
ii. Syair Nasihat cth. Syair Kelebihan Ilmu: Ilmu Itu Bekalan Hidup
iii. Syair Teka-teki

Fungsi Syair

a. Sebagai hiburan – sesuai dengan sifatnya yang demikian maka syair sering dilagukan dalam majlis-majlis tertentu seperti dalam pesta dan keramaian, dipertandingkan atau dalam upacara-upacara adat.


b. Alat menyampaikan pengajaran melalui cerita dan lagu terutama dalam hal-hal yang menyentuh aspek pengajaran agama Islam dari rukun iman, rukun sembahyang, zakat, puasa dan sebagainya. Kemerduan suara “tukang lagu” dan kelembutan nada syair berupaya mengusik perasaan dan seterusnya meninggalkan kesan yang mendalam.


c. Berfungsi dalam kegiatan kesenian dan kebudayaan masyarakat
i. Ketika sambutan maulud
ii. Dinyanyikan atau dilagukan sebagai mengiringi tarian-tarian tertentu seperti dalam dabus dan boria
iii. Digunakan dalam adat perkahwinan


#Perkongsian daripada blog cikgu Ahmad Yani (GCSasteraSTPM.blogspot.com)

No comments:

Post a Comment