Sunday, September 9, 2012

SOALAN PERCUBAAN 922/1 KMT 2012


Bahagian A (Sejarah dan Pengenalan Kesusasteraan Melayu)

1. Cerita legenda merupakan dokumentasi sosial masyarakat Melayu yang dikaitkan dengan tokoh-tokoh yang hebat.

a) Apakah maksud cerita legenda dan berikan 3 contoh karya?     [7]
b) Berdasarkan salah satu contoh karya yang anda berikan jelaskan sejauh mana ia menepati ciri-ciri sesebuah cerita legenda.  [9]
c) Apakah fungsi cerita legenda kepada masyarakat?     [9]

2. Sastera agama merupakan salah satu sastera tulisan yang mendapat tempat dalam kalangan orang-orang Melayu di nusantara.

a)    Nyatakan EMPAT  jenis/golongan cerita mengenai tokoh Islam yang terdapat dalam sastera agama tersebut.     [4]
b)    Jelaskan TIGA ciri sastera agama.       [6]
c)    Sastera agama menyenaraikan watak nabi-nabi Allah yang terkenal. Huraikan watak dan perwatakan nabi-nabi Allah yang terdapat dalam sastera Agama.  [15]

  
Bahagian B (Karya Agung)

3. Teliti petikan berikut dan jawab soalannya.
Syahdan bagindalah yang pertama-tama meletakkan “kekuningan larangan”, tidak dapat dipakai orang keluaran, dan diambil akan sapu tangan; dan tiada dapat dibuat tepi tabir dan ulasan bantal besar dan tilam, dan bungkus barang apa-apa, dan akan karang-karangan benda; dan tiada dapat diambil akan perhiasan rumah; dan lain daripada itu pun tiada juga dapat, melainkan kain, baju, dan destar, tiga perkara itu jua yang dapat dipakai. Dan larangan berbuat rumah bermanjungan bertiang gantung, tiada terletak ke tanah: dan bertiang terus dari atap, dan peranginan; dan jikalau perahu, bertingkap berpenghadapan, dan tidak dapat orang memakai penduk dan teterapan keris; sebesar-besar orang keluaran tiada dapat bergelang kaki emas, dan jikalau berkeroncong emas berkepala perak tiada boleh.                                        (Sulalatus Salatin : MPM, DBP,  A Samad Amad. hlm 74)
a) Siapakah baginda dan apakah peristiwa yang berlaku sebelum petikan di atas?      [9]
b) Apakah larangan yang terdapat terdapat di dalam petikan di atas?   [10]
c) Apakah kepentingan larangan tersebut jika dilihat dalam konteks hubungan raja dan  
    rakyat?     [6] 
4. . Teks Sulalatus Salatin banyak memaparkan unsur-unsur kritikan yang dilakukan untuk mengkritik golongan raja dan rakyat. Berdasarkan pernyataan tersebut jelaskan dengan mengemukakan contoh-contoh peristiwa yang sesuai.                                                  [25]                


Bahagian C : PROSA MELAYU TRADISIONAL

5. Teliti petikan di bawah dan jawab soalan berikutnya.
Maka Maharaja Gatotkaca pun berjalanlah lakunya seperti gunung api hendak menghanguskan alam ini rupanya. Maka segala tunggul dan panji-panji pun seperti bunga lalang berkiaran ditiup oleh angin dan segala rakyat itu berjalan terlalu banyaknya bergemerlapan rupa mahkota segala raja-raja seperti awan ditiup oleh angin yang maha keras. Demikianlah rupanya rakyat berjalan itu dan bercoraknya pakaiannya seperti bintang rupanya.
            Maka kelihatanlah Gunung Ugra Bajra. Maka segaja rakyat Maharaja Gatotkacapun turun dari udara berlindung di balik bukit itu. Maka segala rakyat raksasa itu pun sekaliannya berbuat tempat berhenti. Maka diambilnya segala batu kayu dan segala gunung dibongkarnya dan bukit dan beberapa pohon kayu yang besar-besar dicabutnya daripada hendak bangat dan matahari pun baharu terbit berayun-ayun. Maka peraduan Maharaja Gatotkaca dan Sang Bimanyu pun diperbuat dengan sebentar juga sudah.

(Dipetik daripada Majlis Peperiksaan Malaysia (peny),2003,Mutiara Sastera Melayu Tradisional, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, halaman 94)

a) Jelaskan lima gambaran kehebatan yang dimiliki oleh angkatan Maharaja Gatotkaca seperti dalam petikan di atas.     [10]
b) Buktikan bahawa hikayat ini adalah sebuah hikayat berunsur Hindu.  [15]

6.Berdasarkan Kitab Hadiqat al-Azhar wa al-Rayahin,dalam Mutiara Sastera Melayu Tradisional,

 a) Nyatakan tiga persoalan yang diutarakan dalam sastera kitab ini.  [9]
 b) Jelaskan sifat-sifat Imam Shafii r.a. dan mengapakan ia wajar anda jadikan contoh. [16]


Bahagian D : PUISI MELAYU TRADISIONAL

7. Baca puisi di bawah dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

Berkata ilmu akulah sultan,
Kerajaan aku darat dan lautan,
Jahil berseru akulah syaitan,
Ikutlah aku merata sultan.

Ilmu itu gemala sakti,                         5
Sinarnya cerah cahaya sejati,
Asal puncanya lamun didapati,
Sukar bercerai sehingga mati.

Harganya tidak dapat ternilaikan,                
Sebuah dunia belinya bukan,             10
Kuasanya bersukat digunakan,
Di laut, di darat, di rimba dan pekan.

Jasa seorang ialah taulan,                            
Teman berbeka suluh berjalan,
Jasa berhimpun ialah pengenalan,    15
Hiasan penyata polan si polan.

Bagi yang duka ia penghibur,
Ia penerang bagi yang kabur,
Ialah kandil di dalam kubur,
Lamun dengannya beramal subur.   20

Ialah penerang ke jalan syurga,
Ia pemuas tekak dan dahaga,
Ialah sungai ialah telaga,
Laut yang luas ialah juga.

Ialah alat sangat berguna,                 25
Idaman orang yang bijaksana,
Hampirnya luas pandang sejuta,
Tepinya ajal sempadannya fana.

(dipetik daripada MUTIARA SASTERA MELAYU TRADISIONAL, halaman 284-285)

a) Apakah tajuk puisi di atas.    [1]
b) Nyatakan persoalan-persoalan yang terdapat dalam puisi di atas.    [12]
c) Huraikan  EMPAT teknik penulisan  puisi tersebut.     [12]


8. Baca petikan puisi di bawah ini dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.
Kekasih
Kekasih aku seperti nyawa mulia juga,
Kekasih ia juga dengan bawa pun ia juga,
Dijauh daripada nyawa itu barang siapa,
Jika seribu tahun hidup sia-sia juga,
Yang ada serta ia bahawa itu sentiasa,
Sekaliannya kesukaan ia sedia-sedia juga,
Nyawa itu ia menghidupkan segala hati hidupan nyawa dan
            hati manusia juga membawa suka,
Hati yang menghilangkan halar kekasihku itulah yang setia
            juga,
Kekasihku itu yang menyukakan hati hidayat itu adanya,
Lagi hidayat juga bukhari itu adanya,
Serta nyawa itu ia juga,
Beruntung lagi berbahagia jua.
           
a)  Apakah jenis puisi di atas.   [1]
b)  Jelaskan unsur keindahan bahasa yang didapati daripada puisi tersebut.  [12]
c)  Huraikan empat mesej yang hendak disampaikan oleh pengarang dalam puisi tersebut [12]



-: SOALAH TAMAT :-

No comments:

Post a Comment

Post a Comment