Tuesday, June 22, 2010

ABDULLAH BIN ABDUL KADIR (MUNSYI ABDULLAH)

Usianya baru menjangkau 11 tahun tetapi dalam usia semuda itu, kepintaran dan banyak ilmunya menyebabkan beliau sudah menjadi guru dan mengajar pelajaran agama kepada askar Islam Melaka yang lebih tua daripada usianya.

Membesar sebagai manusia yang berpengetahuan dan cintakan ilmu, Abdullah Abdul Kadir atau lebih dikenali sebagai ‘Abdullah Munsyi’, kemudian menjadi antara penduduk Melaka yang sangat dihormati dan dikagumi penjajah ketika itu iaitu Inggeris.

Kehadiran Abdullah membuktikan kepada Inggeris bahawa dalam masyarakat Melaka yang dijajah mereka, ada golongan intelek tempatan yang hebat. Daripada Abdullah jugalah kemudian penjajah Inggeris itu berguru mempelajari Bahasa Melayu.

Beliau dilahirkan pada 1796 di Kampung Masjid yang juga disebut orang sebagai Kampung Pali ketika itu. Anak bongsu daripada empat beradik tetapi ketiga-tiga abangnya meninggal dunia ketika kecil iaitu berusia antara setahun hingga tiga tahun.

Keturunannya bermula daripada seorang pemuda Arab Yaman, Syeikh Abdul Kadir yang mengembara dari Tanah Arab sehingga ke Nagor, India Selatan dan berkahwin dengan gadis tempatan serta menetap di tanah asing itu.

Dari situ, lahir datuk Abdullah, Muhammad Ibrahim yang meneruskan tradisi bapanya mengembara sehingga tiba di Melaka dan menetap di negeri itu. Berkahwin dengan gadis dikenali Peri Achi, mereka memperoleh bapa Abdullah, Abdul Kadir.

Abdul Kadir membesar bersama pendidikan yang cukup dalam bidang al-Quran, bahasa Tamil dan Arab serta ilmu kira-kira. Dia kemudian menjadi peniaga di Hulu Melaka di samping mengajar ilmu agama sehingga dipilih menjadi khatib di Kampung Lobok Kepong.

Tahap pengetahuan tinggi hasil tumpuan didikan dalam keluarganya menyebabkan Abdul Kadir dilantik menjadi penulis surat sultan dan mengajar seorang asing, Tuan Marsden berbahasa Melayu. Seterusnya dia menjadi Syahbandar, utusan Inggeris ke negeri Melayu serta juru bahasa dan juru tulis.

Abdul Kadir kemudian mendirikan rumah tangga dua kali dan kali kedua bersama gadis keturunan Hindu dari Kedah, Salamah pada 1794. Hasil perkahwinan itu, Abdul Kadir dikurniakan empat cahaya mata termasuk Abdullah tetapi tiga lagi anaknya meninggal dunia ketika masih bayi dan pada zaman kanak-kanak.

Walaupun hidup Abdullah ketika kecil sering sakit terutama selepas usianya menjangkau empat bulan, keadaan itu menyebabkan ibunya tidak dapat menyusui bayi itu lalu Abdullah disusui orang lain.

Sewaktu bapanya berniaga di luar negeri, Abdullah dan ibunya tinggal bersama neneknya, Peri Achi. Peri Achi sangat memanjakan Abdullah sehingga menimbulkan kekhuatiran di hati Abdul Kadir.

Bimbang si bapa, Abdullah akan lalai dalam pelajaran tetapi ketika mengingatkan yang keluarga mereka sangat serius dalam menuntut ilmu, gusar di hati sedikit tenang. Tambahan pula ibunya, Peri Achi seorang guru besar di Kampung Pali yang mengajar lebih 200 kanak-kanak menulis dan mengaji al-Quran.

Ibarat ‘kuah tumpah ke nasi’, semangat cintakan ilmu disemai ke dalam jiwa Abdullah sejak kecil. Ketika kanak-kanak lain diberikan pelbagai permainan, Abdullah menerima permainan berupa kalam dan papan tulis.

Adat kanak-kanak, penekanan terlampau terhadap pembelajaran terutama oleh bapanya menyebabkan Abdullah memprotes lantaran dia tidak dapat bermain dan bergembira bersama rakan seusia.

Abdul Kadir sangat tegas dengan anaknya walaupun itulah anak tunggal. Dia tidak memuji Abdullah walaupun kerap berbangga dengan pencapaiannya kerana beranggapan pujian akan merosakkan si anak.

Hasil didikan itu menyebabkan Abdullah menjadi pintar dan kreatif berbanding kanak-kanak lain. Abdullah cepat matang malah memiliki sikap berdikari sehingga pada usia kanak-kanaknya, dia sudah menjual layang-layang, melukis, menulis surat dan menyalin al-Quran untuk memperoleh wang.

Gelaran ‘Munsyi’ yang bermaksud ‘guru’ sudah diterima ketika dia berusia 11 tahun kerana pada usia semuda itu, kepintarannya dan banyak ilmunya menyebabkan dia sudah menjadi guru dan mengajar pelajaran agama kepada askar Islam Melaka.

Abdullah adalah seorang yang gigih belajar. Dia tidak mengira siapa atau mana asal usul gurunya asalkan dia mendapat pengetahuan baru. Paling digemarinya adalah bidang bahasa dan tanpa jemu dia meluaskan pengetahuan mengenai kata dari aspek simpulan, ikatan, rangkai kata, kuasa, tujuan dan ilmu bahasa. Selain bahasa Melayu, turut dipelajarinya bahasa Tamil, Arab dan Inggeris.

Sewaktu Stamford Raffles datang ke Melaka, Abdullah dilantik sebagai juru tulis dan penterjemahnya. Daripada hubungan majikan dan pekerja, akhirnya mereka menjadi sahabat karib.

Nyata sikap rajin dan dedikasi dalam tugas yang terserlah menerusi peribadi Abdullah tidak saja membuatkan Raffles menyenanginya tetapi turut membenihkan rasa hormat dan kagum di kalangan Inggeris terhadap anak watan itu. Bagaimanapun, persahabatan itu terputus apabila Raffles berangkat ke Betawi.

Dalam usianya 27 tahun, Abdullah mengajar bahasa Melayu kepada paderi Inggeris, Milne dan beliau mempelajari pula bahasa Inggeris daripada lelaki asing itu. Mengetahui seorang lagi pendatang Barat, Doktor Marrison mengetahui bahasa Cina, Abdullah turut meminta bahasa itu diajarkan kepadanya. Daripada Doktor Marrison jugalah dia meneliti ayat-ayat daripada kitab Injil Matius seterusnya menterjemahkannya dalam bahasa Melayu.

Apabila Kumpulan India Timur mendirikan kolej Anglo-Chinese untuk mengajar anak Cina, Nasrani dan Melayu membaca serta menulis bahasa Inggeris, Abdullah turut serta menuntut ilmu di pusat pendidikan itu. Malah, dia turut merangsang anak Melayu lain bersama menuntut ilmu.

Meningkat dewasa, Abdullah mendirikan rumah tangga sewaktu berusia 34 tahun dan beberapa tahun kemudian, beliau memperoleh cahaya mata pertama iaitu seorang bayi perempuan.

Selepas Milne meninggal dunia, jawatan lelaki itu sebagai pengetua kolej Anglo-Chinese digantikan dengan Thomsen. Abdullah berkesempatan menjadi pengetua di kolej itu seketika apabila Thomsen menghantar isterinya pulang ke England.

Apabila Singapura dibuka, Abdullah memulakan kehidupan barunya di sana dengan kembali menjadi juru tulis dan juru bahasa Raffles dan meninggalkan anak dan isterinya di Melaka. Setiap enam bulan, beliau akan kembali bertemu keluarganya.

Di Singapura, beliau bertanggungjawab menulis undang-undang Singapura atas arahan Raffles. Beliau juga diberi tugas untuk mengumpul bahan sastera Melayu lama seperti kitab, hikayat dan Syair untuk Raffles membawa pulang bahan itu ke England. Dia juga menjadi guru bahasa Melayu kepada saudagar Inggeris di Singapura.

Ketika di negeri itu juga, Abdullah diserang sejenis penyakit dan terpaksa dibedah oleh doktor Inggeris.

Pengalaman terjadinya kebakaran di Singapura dicatatkan Abdullah dalam karyanya ‘Syair Singapura Terbakar’.

Beberapa bulan kemudian, Abdullah kembali ke Melaka dan mengajar bahasa Melayu kepada guru di kolej Anglo-Chinese, Hughes dan Paderi Evans dan seorang Inggeris, Newbold.

Dalam pada itu, Newbold turut mengarahkan Abdullah mengkaji dan menulis adat Cina dan masyarakat Jakun dalam bahasa Inggeris. Tugas itu membawa Abdullah mengembara ke Gunung Pancur bagi melihat dan mengkaji budaya hidup masyarakat Jakun di situ.

Pada 1835, Abdullah menterjemah ‘Hikayat Panca Tanderan’ yang asalnya berbahasa Hindu dengan judul ‘Hikayat Kalilah dan Daminah’. Karja terjemahannya yang lain adalah ‘Perhimpunan Saudagar-saudagar’.

Beliau kemudian mengarang kitan ‘Dewa ul-Kulun’ (Ubat Hati) sebagai pengubat hatinya akibat kematian anaknya, Siti Lela.

Sewaktu bekerja dengan seorang bangsawan Inggeris, North, Abdullah yang ketika itu berusia 42 tahun mengembara ke Pahang, Terengganu dan Kelantan dan kisah sepanjang perjalanannya dicatatkan dalam ‘Kisah Pelayaran Abdullah’.

Ketika diserang demam kepialu, beliau kembali ke pangkuan keluarganya di Melaka tetapi apabila sembuh, isterinya pula meninggal dunia pada 1840. Pilu dengan peristiwa itu, Abdullah menjual rumahnya di Melaka dan terus menetap di Singapura.

Pada tahun itu juga, Abdullah menulis cerita kapal asap bernama ‘Sisostis’. Abdullah menyelesaikan ‘Hikayat Abdullah’ pada 3 Mei 1843. Buku itu bagaimanapun hanya diterbitkan kira-kira 40 tahun selepas kematiannya.

Abdullah meninggal dunia pada 1854 iaitu ketika dalam perjalanan ke Makkah ketika usianya 58 tahun. Kisah perjalanannya ke Makkah dicatatkan dalam ‘Kisah Pelayaran Abdullah ke Judah’ tetapi tidak dapat disiapkan. Bagaimanapun, kitab itu tetap diterbitkan Balai Pustaka, Jakarta pada 1920.

INTELEKTUAL, PEMIKIR MELAYU ABAD KE-18

MENITI masa menuju kemodenan, Abdullah Abdul Kadir atau digelar Abdullah Munsyi dinobatkan masyarakat terutama pengkaji sejarah sebagai ‘Bapa Kesusasteraan Melayu Moden’ lantaran pemikiran dan karyanya ketika itu dianggap ‘menentang arus’.

Tidak seperti kebanyakan karya Melayu lama ketika itu yang lebih kepada dongeng, alam ghaib dan mistik; hasil penulisan Abdullah sebaliknya berdasarkan pengamatan, pengalaman dan ilmu pengetahuan.

Pengkaji Budaya Melayu, Prof Madya Dr Hanapi Dollah, berkata hujah Abdullah dalam pelbagai bidang seperti masyarakat, agama, politik, ekonomi dan moral menerusi karyanya didapati mendahului zaman.

Contohnya gagasan ‘Melayu Boleh’ atau ‘Malaysia Boleh’ bukanlah sesuatu baru tetapi sudah lama diutarakan Abdullah yang yakin orang Melayu boleh maju sekiranya mampu melakukan perubahan dan meninggalkan pola kehidupan lama dan usang.

Seperti kepentingan modal insan yang dilaksanakan kerajaan baru-baru ini, Abdullah Munsyi sudah menekankan mengenai pentingnya perkara itu seawal abad ke-18 lagi,” katanya yang juga pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (FSSK-UKM).

Selain sebagai pejuang bahasa lantaran minatnya dalam mengkaji struktur pelbagai bahasa, Abdullah juga seorang pemikir dan intelektual bangsa yang wujud pada zaman silam yang mana hujah kritis dan gagasannya banyak memberi panduan mengenai pelbagai aspek kehidupan.

Mengikut Dr Hanapi, antara gagasan Abdullah pada abad ke-18 yang didapati masih kekal sehingga kini:

Pemodenan

Gagasan kemodenan Abdullah bertitik tolak daripada pengalamannya yang melihat kemajuan yang dicapai Inggeris ketika itu. Bagaimanapun, kemodenan itu disesuaikan dengan acuannya sendiri yang masih mengekalkan kepentingan Islam dalam menguruskan kehidupan.

Ilmu pengetahuan

Pembentukan bangsa berilmu dan kepentingan menuntut ilmu menjadi gagasan yang ditimbulkan secara terus-menerus sama ada menerusi kisahnya atau tulisannya. Pada pandangan beliau, ilmu adalah asas kehidupan dan penjana peradaban.

Dalam Hikayat Abdullah, ditekankan usaha dan cara mendapatkan ilmu dan kepentingannya; Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan pula menekankan betapa perlunya anak raja menuntut ilmu. Abdullah turut menunjukkan teladan menerusi usahanya dalam aspek ini.

Adat dan kepercayaan

Abdullah begitu kuat menentang adat dan kepercayaan usang terutama kepercayaan karut marut dan bertentangan dengan Islam yang masih kuat dipegang masyarakat pada zamannya.

Antara adat usang yang dibidas Abdullah adalah beliau merasakan tidak munasabah apabila seseorang melalui kampung diraja, mereka dilarang berpayung, memakai kasut dan berpakaian kuning, golongan diraja tidak dibolehkan berniaga selain perbuatan larangan yang kononnya akan mendatangkan kecelakaan jika dilakukan walaupun tidak berasas.

Beliau turut menolak kepercayaan terhadap pawang gajah yang kononnya memiliki kuasa mistik untuk menangkap haiwan itu. Sebaliknya beliau mendapati pawang itu mengepung gajah tanpa memberi makanan atau minum dan apabila haiwan itu lemah, barulah pawang itu menangkapnya.

Abdullah berpendapat punca kejumudan adat dan kepercayaan karut marut itu adalah kurangnya beriman seseorang itu terhadap Allah dan Rasul.

Ekonomi

Catatannya mengenai ekonomi jelas menerusi sejarah kehidupan diri dan keluarganya di Melaka yang sememangnya terkenal sebagai pusat perdagangan antarabangsa ketika itu.

Beliau menyatakan kesilapan yang diamalkan sistem ekonomi tradisional pada negeri biasa dan negeri kolonial dalam pelayaran ke Kelantan. Di Pahang misalnya, beliau melihat banyak tanah yang tidak diusahakan serta penduduk yang menganggur dan berlakunya pembaziran faktor pengeluaran sumber dan buruh.

Keadilan

Abdullah mempertikai konsep perbezaan taraf di dalam amalan sistem masyarakat Melayu ketika itu yang membolehkan kalangan kelas bangsawan berbuat apa saja kepada kelas bawahan, rakyat ibarat hamba kepada golongan bangsawan.

Beliau menuntut kesamarataan dalam gagasannya seperti diamalkan masyarakat Inggeris malah gagasan itu tidak saja diluahkan menerusi tulisan tetapi secara lisan kepada raja Melayu.

Feminisme

Lama sebelum golongan wanita memperjuangkan hak feminisme, Abdullah terlebih dulu membicarakan hal ini lewat penulisannya yang antara lain membidas sikap lelaki malas sehingga menyebabkan tanggungjawab lelaki dan suami seperti diajar Islam dilakukan wanita.

Dalam masa sama, beliau memaparkan persoalan feminisme lebih menarik dengan menyatakan wanita Melayu mendapat kebebasan tidak terhad untuk bergerak.

FAKTA: Karya Abdullah Munsyi

Syair Singapura Terbakar (1830)

Kisah Pelayaran Abdullah (1838)

Hikayat Abdullah (1849)

Dewa-ul-kulub (1883)

Kisah Pelayaran Abdullah ke Judah (1920)

4 comments:

  1. membantu saya dalam penilaian 1. terima kasih

    ReplyDelete
  2. terima kasih kerana berkongsi ilmu

    ReplyDelete
  3. Dewa al-Kulun tak mungkin terbit 1883 kerana Munshi Abdullah meninggal pada 1850-an.

    ReplyDelete