Tuesday, June 26, 2012

KEPENTINGAN KARYA (PANTUN) DALAM KONTEKS SARWAJAGAT (WORLD VIEW) MASYARAKAT MELAYU TRADISIONAL


Contoh soalan:
Jelaskan peranan dan kedudukan pantun dalam masyarakat Melayu Tradisional.

Cadangan jawapan:

      Pantun memainkan peranan dan kedudukan  yang penting dalam kehidupan masyarakat Melayu Tradisional. Peranan dan kedudukan pantun antara lain ialah sebagai alat hiburan. Dinyanyikan atau dilagukan untuk tujuan bersenda gurau, bermain-main, usik-mengusik dan menghibur hati. Contohnya pantun jenaka, pantun dua kerat dan pantun teka-teki.
       Ambil segulung rotan sega,
           Sudah diambil mari diurut;
      Duduk termenung harimau tua,
           Melihat kambing mencabut janggut.

      Pantun juga berperanan sebagai gambaran masyarakat dari segi politik, ekonomi dan sosial. Di dalam pantun terselit mesej untuk perkara tersebut. Memberi nasihat dan pandangan kepada tiga perkara yang disebutkan tadi. Walaupun ringkas tapi kental serta padat untuk memberi teguran dalam bidang politik, ekonomi dan sosial. sesiapa yang berkaitan sudah pasti akan terkena dengan sindiran dan kiasan yang begitu tepat sekali, tapi secara bersopan.
     Anak dara pergi ke judah,
         Sampai di judah berperi-peri;
     Menjual suara bukannya mudah,
        Hendak mencari nafkah sendiri.

      Seterusnya dalam ucapan yang disampaikan oleh seorang pemimpin, unsur-unsur pantun digunakan sebagai pembukaan dan penutup ucapan. Dalam bahagian pembukaan dilukiskan sebagai kata-kata aluan kepada pendengar atau ucapan terima kasih kepada penganjur. Manakala dalam bahagian penutupnya selalu di sampaikan pantun seperti;
     Kalau ada sumur di ladang,
       Boleh kita menumpang mandi;
     Kalau ada umur pamjamg,
       Boleh kita berjumpa lagi.

      Pantun juga boleh digunakan sebagai alat komunikasi bertaraf tinggi seperti dalam upacara adat dan adat-adat seperti adat meminang dan sebagainya. Pantun yang dikeluarkan menunjukkan komunikasi orang Melayu begitu bersopan sekali. Orang melayu tidak akan berkomunikasi secara terangan kerana dikhuatiri akan menyinggung perasaan orang yang dilawan berkomunikasi. 
      Berkokok ayam dari hulu,
        Ditangkap budak sedang berlari;
     Angin memukul gelombang memalu,
        Sebab berhajat kita ke mari. 

     Seterusnya pantun berperanan sebagai alat didaktik iaitu memberi panduan, nasihat, tunjuk ajar dan sindiran atau kritikan. Misalnya melalui pantun nasihat, pantun budi dan pantun kanak-kanak. Setiap yang disampaikan senang diterima kerana penyampaiannya secara puitis dan indah sekali.

     Pantun juga berperanan sebagai penyampai maksu atau curahan rasa hati, terutama di kalangan orang-orang muda yang sedangkan berkasih-kasihan. Contohnya melalui pantun kasih. Setiap kata yang bakal disampaikan akan disusun dengan penuh indah dan menarik hati orang yang akan dilawan berbicara. Pantun dalam jenis ini sungguh mengasyikkan.

     Tegasnya di sini pantun menggambarkan cara berfikir dan nilai-nilai masyarakat Melayu tradisi. Melalui pantun orang Melayu mengeluarkan rasa hati dan keluhan jiwa, seperti dalam bentuk kasih sayang, cinta, suka duka, sindir menyindir dan berbagai-bagai perasaan hati mereka yang diungkapkan dalam bahasa yang indah dan menarik.

     Dalam pantun juga kita akan dapat melihat akan keindahan atau estetik masyarakat Melayu itu sendiri kerana sikap orang Melayu yang tidak suka bercakap secara berterus terang. Misalnya melalui pantun kias ibarat. Melalui pantun seperti ini orang Melayu sendiri telah dilatih supaya berfikir secara tinggi. Orang yang tidak boleh berfikir secara mendalam sudah pasti tidak akan dapat mengesan maksud yang disampaikan.

# Perkongsian drpd blog Cikgu Ahmad Yani

MANTERA


Definisi

Mantera ialah kata-kata yang diucapkan untuk mendapatkan sesuatu dengan kuasa ghaib (melalui mimpi). Jampi ialah kata-kata tertentu yang diucapkan untuk mendapatkan kesaktian (seperti menyembuhkan penyakit dan sebagainya). Mantera juga diberi pengertian sebagai ungkapan kata-kata yang digunakan pawang dan bomoh Melayu dalam upacara-upacara yang mempunyai berbagai ragam maksud dari segi kepercayaan lama seperti digunakan dalam doa dan pendinding keselamatan daripada segala bencana iaitu digunakan dalam upacara-upacara ritual, pemujaan kepada penunggu dan semangat, juga dalam kerja-kerja bersangkut paut dengan pertanian dan menangkap ikan (supaya menjauhkan bala dan kerosakan segala bencana).

Ciri-ciri Mantera

Dari segi bentuk :
i. Bentuk bebas atau tidak terikat
ii. Jumlah baris dalam satu rangkap adalah bebas / tidak tetap
iii. Jumlah rangkap bagi satu-satu mantera juga adalah bebas.
iv. Rima akhir baris adalah bebas iaitu tidak ada skema rima yang tertentu.

Dari segi isi :
i. Mengandungi pengucapan dan doa yang penuh dengan kata-kata pujian dengan tujuan membawa keuntungan dan menjauhkan bencana.
ii. Mengandungi unsur-unsur atau ungkapan magis yang digunakan dalam upacara-upacara tertentu serta bersifat kudus atau menyelami soal-soal kebatinan

Dari segi bahasa :
i. Mengandungi kata-kata yang dapat memberi kesan gambaran (imej) yang tertentu seperti gambaran alam semulajadi, benda-benda, tingkah laku atau perbuatan, perasaan atau sentuhan, bunyi atau pendengaran
ii. Kaya dengan bahasa perbandingan, kata-kata perulangan, kata-kata kiasan atau kiasan bahasa dan metafora.
Jenis mantera dibahagikan kepada empat jenis berdasarkan tujuan mantera tersebut diucapkan, iaitu :
a. Perubatan
b. Pakaian diri
c. Pekerjaan
d. Adat isiadat

Fungsi mantera

a. Menyembuhkan penyakit dan menghalau makhluk halus yang dipercayai mengganggu sesuatu tempat atau yang mengganggu kehidupan seseorang dan masyarakat.
b. Dijadikan sebagai pemanis, pengasih dan pembenci
c. Mantera digunakan dalam upacara-upacara seperti adat dan istiadat.

MANTERA ULIT MAYANG

Anda sudah tentu pernah dengar lagu tradisi Negeri Terengganu, Ulek Mayang. Lagu Ulek Mayang yang bermula sebagai kaedah perubatan tradisional menjadi identiti Terengganu kerana menjadi amalan masyarakat Melayu lama sejak beratus tahun lalu. Namun amalan itu dikatakan amalan khurafat kerana menggunakan khidmat makhluk halus atau pun jin dalam mengubati seseorang pesakit.
Sekarang Ulek Mayang hanya dikaitkan sebagai persembahan kesenian tradisional yang masih aktif berkembang beberapa lokasi di Terengganu seperti Kampung Pasir Panjang, Kuala Terengganu. Persembahan Ulek Mayang ini dimainkan dengan menggunakan Mayang Pinang. Dipercayai Mayang Pinang membangkitkan semangat. Ketika persembahan ini berlangsung pemain diiringi dengan seloka dan pantun oleh rakan yang lain. Persembahan ini dimainkan secara beramai-ramai dengan membuat bulatan dan pemegang duduk di tengah-tengah. Tidak ada muzik yang mengiringi persembahan ini.

Persembahan dan Tarian Ulek Mayang

Kini, Ulek Mayang hanya dipersembahkan sebagai hiburan semata-mata tanpa mencampur adukkan unsur khurafat dalam bacaan mantera. Malah, persembahan hanya berlangsung 10 minit berbanding antara 20 hingga 30 minit.
Ulek Mayang yang menampilkan persembahan tujuh puteri yang mengubati seorang lelaki yang terkena sampuk. Ada dua versi iaitu versi sekumpulan lelaki bermain sepak raga dan versi sekumpulan nelayan sebelum seorang daripada mereka terkena sampuk.

Sejarah Ulek Mayang

Mengikut catatan sejarah, tujuh puteri itu berasal dari Bukit Puteri yang sentiasa menjadi tumpuan orang kampung untuk meminta bantuan mengubati orang sakit melalui jampi, seru dan mantera. Ulek Mayang yang ada pada hari ini sudah mengalami perubahan termasuk menghapuskan unsur khurafat.
Kini, persembahan Ulek Mayang yang dimainkan sekadar untuk suka-suka saja, di mana ia melambangkan suatu pemujaan mendalam terhadap Tuan Puteri Tujuh beradik. Persembahan dimulakan dengan membaca doa dan membangkitkan asal Mayang. Mayang yang digunakan dalam persembahan ini diasap kemenyan dan disapu minyak kelapa terlebih dahulu.
Doa dan ‘bangkitan’ dilakukan untuk memohon perlindungan agar orang yang mengambil bahagian tidak ditimpa apa-apa kemalangan.

Mantera Ulit Mayang

Aku tahu asal usulmu,
Seri Bersila nama asalmu,
Seri Berdiri nama batangmu,
Seri hidup asal usulmu,
Seri Menempak nama daunmu,
Seri Guntur nama bungamu,
Seri Gintir nama buahmu.

Aku tahu asal usulmu,
Umbut mayang diumbut,
Umbut dengan jala jemala,
Ulit mayang diulit,
Ulit dengan tuan puteri,
Puteri dua berbaju serong,
Puteri dua bersanggul serong,
Puteri dua bersubang gading,
Puteri dua berselendang kuning.

Umbut mayang diumbut,
Umbut dengan jala jemala,
Ulit mayang diulit,
Ulit dengan  puterinya empat,
Puteri dua berbaju serong,
Puteri dua bersanggul serong,
Puteri dua bersubang gading,
Puteri dua berselendang kuning.

Umbut mayang diumbut,
Umbut dengan jala jemala,
Ulit mayang diulit,
Ulit dengan puterinya enam,
Puteri dua berbaju serong,
Puteri dua bersanggul serong,
Puteri dua bersubang gading,
Puteri dua berselendang kuning.

Umbut mayang diumbut,
Umbut dengan jala jemala,
Ulit mayang diulit,
Ulit dengan puterinya tujuh,
Puteri dua berbaju serong,
Puteri dua bersanggul serong,
Puteri dua bersubang gading,
Puteri dua berselendang kuning.

Ulit mayang diulit,
Ulit dengan jala jemala,
Ulit mayang diulit,
Ulit dengan  tuan puteri,
Kutahu asal usulmu,
Yang laut pulang ke laut,
Yang darat pulang ke darat,
Nasi berwarna hamba sembahkan.

Umbut mayang diumbut,
Umbut dengan jala jemala,
Pulih mayang kupulih,
Pulih balik sedia kala.

http://www.youtube.com/watch?v=iNbP4tNuRS0&feature=related 

# Perkongsian drpd blog Cikgu Ahmad Yani


TEROMBA


Definisi

Merupakan susunan adat yang disampaikan dalam bentuk puisi. Puisi ini dikenali juga sebagai puisi adat. Adat yang dimaksudkan ialah adat Minangkabau yang mengandungi adat dan peraturan serta norma-norma hidup masyarakat khususnya tentang undang-undang adat yang diamalkan dalam kehidupan sosial dan mengamalkannya.

Ciri Teromba
(Adat Tonggak Nilai halaman 347 dalam buku Mutiara Sastera Melayu Tradisional)

Dari aspek bentuk:

a. Sejenis puisi berbentuk bebas atau puisi tidak terikat.

b. Mengandungi 7 rangkap. Jumlah baris serangkap tidak tetap iaitu rangkap satu mengandungi14 baris, rangkap dua 16 baris, rangkap tiga 22 baris, rangkap empat 6 baris, rangkap lima 17 baris, rangkap enam 7 baris dan rangkap tujuh 9 baris.

c. Rima akhir teromba adalah tidak tetap.

d. Jumlah perkataan sebaris tidak seimbang iaitu di antara 1 hingga 6 patah perkataan sebaris. Contoh:
R1B1 ….. Tatkala
R2B16 … Perempuan biasa berusahakan benang dan kapas

e. Jumlah suku kata sebaris juga tidak seimbang iaitu di antara 3 hingga 17 sukukata
Contoh,
R1B1 Tat/ka/la 3 jumlah suku kata
R2B16 Pe/rem/pu/an/ bi/a/sa/ ber/u/sa/ha/kan/ be/nang/ dan/ ka/pas 17 sk

f. Terdapat penggunaan jenis puisi Melayu tradisional yang lain seperti penggunaan peribahasa, contoh :
Bulat air kerana pembetung,
Bulat manusia kerana muafakat, - R5

Hidup dikandung adat,
Mati dikandung bumi, -R5

Ciri dari segi isi :

Isinya mengandungi adat dan peraturan serta norma-norma hidup masyarakat khususnya tentang undang-undang adat yang diamalkan dalam kehidupan sosial masyarakat yang melahirkan dan mengamalkannya.

Maksud teromba

Mengandungi adat dan peraturan serta norma-norma hidup masyarakat khususnya tentang undang-undang adat yang diamalkan dalam kehidupan sosial masyarakat Negeri Sembilan yang melahirkan dan mengamalkan Adat Perpatih. Oleh itu teromba yang ditulis merupakan susunan adat yang disampaikan dalam bentuk puisi yang dikenali sebagai ‘puisi adat’.

Fungsi teromba

a. Memberi panduan dan pendidikan tentang cara hidup atau sistem hidup bermasyarakat yang baik dan harmoni melalui adat, peraturan dan undang yang dibentuk. Dalam rangkap 2, menjelaskan keutamaan adat dan masyarakat mesti mengikut kebiasaan yang telah dijadikan peraturan setempat. Penghulu, ulama masing-masing dengan tugas mereka. Begitu juga dengan pahlawan, juara, saudagar dan kaum wanita.

b. Membentuk dan membina satu masyarakat yang harmoni.

# Perkongsian drpd blog Cikgu Ahmad Yani

TALIBUN


Definisi

Talibun ialah puisi berangkap tentang perincian sesuatu objek atau peristiwa, dan umumnya terdapat dalam genre lipur lara. Sejenis puisi Melayu berbentuk bebas (ikatan puisi bebas) Digunakan sebagai sisipan / selingan dalam cerita lipur lara.

Ciri-ciri

Struktur talibun berbentuk bebas iaitu dalam serangkap talibun tidak mempunyai jumlah baris, jumlah perkataan dan jumlah suku kata yang seimbang. Talibun juga tidak mempunyai sistem rima tertentu.

Dalam sesuatu untai talibun, mungkin terdapat sisipan daripada genre puisi yang lain seperti pantun, syair dan sebagainya, tetapi ternyata sisipan ini dianggap sebahagian daripada rangkap talibun.

Isi atau tema sesebuah talibun berhubungan dengan pemerian yang dilukiskan di dalam sesebuah konteks. Misalnya untuk memerikan atau melukiskan keindahan sesebuah kota, kecantikan seseorang puteri atau kesaktian sejenis senjata dan unsur-unsur di dalam sesebuah cerita.

Penggunaan bahasa perulangan menjadi lumrah dalam pembentukannya.Teknik perulangan ini bukan sahaja wujud dalam penggunaan gaya bahasa tetapi juga pengulangan seluruh puisi tersebut.

Fungsi

Untuk memerikan secara terperinci tentang sesuatu gambaran seperti suasana, benda dan sifat manusia dalam bentuk yang ringkas, teliti dan menyeluruh.

Umumnya, talibun merupakan gambaran pemikiran masyarakat khalayak yang mementingkan perincian tentang sesuatu, tetapi disusun dan dibentuk dengan keindahan terutamanya penggunaan gaya bahasa.

Fungsi dan kedudukan talibun adalah sebagai sisipan di dalam sesebuah cerita lipur lara. Fungsi talibun di dalam sesebuah cerita adalah sebagai pemerian kepada cerita berkenaan dan memperjelaskan perlukisan tersebut.

# Perkongsian drpd blog Cikgu Ahmad Yani