Tuesday, June 26, 2012

MANTERA


Definisi

Mantera ialah kata-kata yang diucapkan untuk mendapatkan sesuatu dengan kuasa ghaib (melalui mimpi). Jampi ialah kata-kata tertentu yang diucapkan untuk mendapatkan kesaktian (seperti menyembuhkan penyakit dan sebagainya). Mantera juga diberi pengertian sebagai ungkapan kata-kata yang digunakan pawang dan bomoh Melayu dalam upacara-upacara yang mempunyai berbagai ragam maksud dari segi kepercayaan lama seperti digunakan dalam doa dan pendinding keselamatan daripada segala bencana iaitu digunakan dalam upacara-upacara ritual, pemujaan kepada penunggu dan semangat, juga dalam kerja-kerja bersangkut paut dengan pertanian dan menangkap ikan (supaya menjauhkan bala dan kerosakan segala bencana).

Ciri-ciri Mantera

Dari segi bentuk :
i. Bentuk bebas atau tidak terikat
ii. Jumlah baris dalam satu rangkap adalah bebas / tidak tetap
iii. Jumlah rangkap bagi satu-satu mantera juga adalah bebas.
iv. Rima akhir baris adalah bebas iaitu tidak ada skema rima yang tertentu.

Dari segi isi :
i. Mengandungi pengucapan dan doa yang penuh dengan kata-kata pujian dengan tujuan membawa keuntungan dan menjauhkan bencana.
ii. Mengandungi unsur-unsur atau ungkapan magis yang digunakan dalam upacara-upacara tertentu serta bersifat kudus atau menyelami soal-soal kebatinan

Dari segi bahasa :
i. Mengandungi kata-kata yang dapat memberi kesan gambaran (imej) yang tertentu seperti gambaran alam semulajadi, benda-benda, tingkah laku atau perbuatan, perasaan atau sentuhan, bunyi atau pendengaran
ii. Kaya dengan bahasa perbandingan, kata-kata perulangan, kata-kata kiasan atau kiasan bahasa dan metafora.
Jenis mantera dibahagikan kepada empat jenis berdasarkan tujuan mantera tersebut diucapkan, iaitu :
a. Perubatan
b. Pakaian diri
c. Pekerjaan
d. Adat isiadat

Fungsi mantera

a. Menyembuhkan penyakit dan menghalau makhluk halus yang dipercayai mengganggu sesuatu tempat atau yang mengganggu kehidupan seseorang dan masyarakat.
b. Dijadikan sebagai pemanis, pengasih dan pembenci
c. Mantera digunakan dalam upacara-upacara seperti adat dan istiadat.

MANTERA ULIT MAYANG

Anda sudah tentu pernah dengar lagu tradisi Negeri Terengganu, Ulek Mayang. Lagu Ulek Mayang yang bermula sebagai kaedah perubatan tradisional menjadi identiti Terengganu kerana menjadi amalan masyarakat Melayu lama sejak beratus tahun lalu. Namun amalan itu dikatakan amalan khurafat kerana menggunakan khidmat makhluk halus atau pun jin dalam mengubati seseorang pesakit.
Sekarang Ulek Mayang hanya dikaitkan sebagai persembahan kesenian tradisional yang masih aktif berkembang beberapa lokasi di Terengganu seperti Kampung Pasir Panjang, Kuala Terengganu. Persembahan Ulek Mayang ini dimainkan dengan menggunakan Mayang Pinang. Dipercayai Mayang Pinang membangkitkan semangat. Ketika persembahan ini berlangsung pemain diiringi dengan seloka dan pantun oleh rakan yang lain. Persembahan ini dimainkan secara beramai-ramai dengan membuat bulatan dan pemegang duduk di tengah-tengah. Tidak ada muzik yang mengiringi persembahan ini.

Persembahan dan Tarian Ulek Mayang

Kini, Ulek Mayang hanya dipersembahkan sebagai hiburan semata-mata tanpa mencampur adukkan unsur khurafat dalam bacaan mantera. Malah, persembahan hanya berlangsung 10 minit berbanding antara 20 hingga 30 minit.
Ulek Mayang yang menampilkan persembahan tujuh puteri yang mengubati seorang lelaki yang terkena sampuk. Ada dua versi iaitu versi sekumpulan lelaki bermain sepak raga dan versi sekumpulan nelayan sebelum seorang daripada mereka terkena sampuk.

Sejarah Ulek Mayang

Mengikut catatan sejarah, tujuh puteri itu berasal dari Bukit Puteri yang sentiasa menjadi tumpuan orang kampung untuk meminta bantuan mengubati orang sakit melalui jampi, seru dan mantera. Ulek Mayang yang ada pada hari ini sudah mengalami perubahan termasuk menghapuskan unsur khurafat.
Kini, persembahan Ulek Mayang yang dimainkan sekadar untuk suka-suka saja, di mana ia melambangkan suatu pemujaan mendalam terhadap Tuan Puteri Tujuh beradik. Persembahan dimulakan dengan membaca doa dan membangkitkan asal Mayang. Mayang yang digunakan dalam persembahan ini diasap kemenyan dan disapu minyak kelapa terlebih dahulu.
Doa dan ‘bangkitan’ dilakukan untuk memohon perlindungan agar orang yang mengambil bahagian tidak ditimpa apa-apa kemalangan.

Mantera Ulit Mayang

Aku tahu asal usulmu,
Seri Bersila nama asalmu,
Seri Berdiri nama batangmu,
Seri hidup asal usulmu,
Seri Menempak nama daunmu,
Seri Guntur nama bungamu,
Seri Gintir nama buahmu.

Aku tahu asal usulmu,
Umbut mayang diumbut,
Umbut dengan jala jemala,
Ulit mayang diulit,
Ulit dengan tuan puteri,
Puteri dua berbaju serong,
Puteri dua bersanggul serong,
Puteri dua bersubang gading,
Puteri dua berselendang kuning.

Umbut mayang diumbut,
Umbut dengan jala jemala,
Ulit mayang diulit,
Ulit dengan  puterinya empat,
Puteri dua berbaju serong,
Puteri dua bersanggul serong,
Puteri dua bersubang gading,
Puteri dua berselendang kuning.

Umbut mayang diumbut,
Umbut dengan jala jemala,
Ulit mayang diulit,
Ulit dengan puterinya enam,
Puteri dua berbaju serong,
Puteri dua bersanggul serong,
Puteri dua bersubang gading,
Puteri dua berselendang kuning.

Umbut mayang diumbut,
Umbut dengan jala jemala,
Ulit mayang diulit,
Ulit dengan puterinya tujuh,
Puteri dua berbaju serong,
Puteri dua bersanggul serong,
Puteri dua bersubang gading,
Puteri dua berselendang kuning.

Ulit mayang diulit,
Ulit dengan jala jemala,
Ulit mayang diulit,
Ulit dengan  tuan puteri,
Kutahu asal usulmu,
Yang laut pulang ke laut,
Yang darat pulang ke darat,
Nasi berwarna hamba sembahkan.

Umbut mayang diumbut,
Umbut dengan jala jemala,
Pulih mayang kupulih,
Pulih balik sedia kala.

http://www.youtube.com/watch?v=iNbP4tNuRS0&feature=related 

# Perkongsian drpd blog Cikgu Ahmad Yani


5 comments:

  1. assalamualaikum.. boleh tak terbit kan maksud puisi ini? untuk pembelajaran generasi baru STPM

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum ,, boleh tk nyatakan kepentingan karya dalam konteks serwajagat bagi puisi ini ?

    ReplyDelete