Friday, June 15, 2012

SOALAN & SKEMA JAWAPAN KESUSASTERAAN MELAYU 922/2 PEPERIKSAAN PERTENGAHAN TAHUN


BAHAGIAN A: SEJARAH KESUSASTERAAN MELAYU MODEN

1. Abdullah Munsyi telah dianggap sebagai Bapa Kesusasteraan Melayu Moden;
(a) Jelaskan latar belakang Abdullah Munsyi. [5]
(b) Huraikan lima pembaharuan yang diperkenalkan Abdullah Munsyi sehingga beliau dianggap demikian. [20]

Skema Jawapan:

a) Latar belakang Abdullah Munsyi
F1 : Nama penuh Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi
F2 : Dilahirkan pada 1786 di Kg.Pali, Melaka
F3 : Ayahnya berketurunan Arab Yamen, ibunya berketurunan India
F4 : Sejak kecil telah diajar mengaji al-Qur’an, tulisan jawi dan Bahasa Melayu
F5 : Boleh menguasai pelbagai bahasa seperti bahasa Tamil, Hindi , Arab dan Inggeris
F6 : Pernah bertugas sebagai jurutulis Raffles
F7 : Pernah membantu Paderi Milne dan Thompson untuk menterjemah kitab Injil ke Bahasa Melayu
F8 : Pernah menjadi guru bahasa Melayu kepada askar Inggeris dan India,
F9 : Meninggal dunia pada usia 58 tahun di Jeddah semasa perjalanan menunaikan fardu haji.
Pilih 5 isi sahaja
1 isi = 1 markah
5 isi = 5 markah

      b) Lima pembaharuan yang diperkenalkan Abdullah Munsyi dalam karya-karyanya.

F1 : Pembaharuan daripada segi isi cerita
H1 : Abdullah menulis perkara-perkara yang benar-benar berlaku di dunia nyata berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya sewaktu melawat sesuatu negeri. Beliau juga tidak menyelitkan unsur-unsur mitos , dongeng dan legenda dalam karya-karyanya.
C1 : Abdullah menceritakan pengalamannya melihat kerajinan kaum wanita  berniaga di Kelantan dalam Hikayat Pelayaran Abdullah.

F2 : Pembaharuan daripada segi watak dan perwatakan
H2 : Dalam karya-karya beliau, watak-watak yang dikemukakan meliputi semua lapisan masyarakat, iaitu daripada golongan raja hinggalah rakyat biasa. Ini amat berbeza dengan karya-karya terdahulu yang kebanyakannya mengisahkan watak-watak daripada golongan raja dan pembesar (bangsawan).
C2 : Dalam karya-karyanya, Abdullah banyak memaparkan watak-watak berkaitan dirinya, keluarganya, Raffles, Paderi Milne , dan lain-lain lagi sebagai manusia biasa yang ada kelebihan dan kekurangan.

F3  : Pembaharuan daripada segi gaya bahasa
H3 :  Bahasa yang digunakan Abdullah dalam karya-karyanya sudah banyak terpengaruh bahasa pertuturan dan juga bahasa asing. Bahasa pertuturan sehari-hari juga digunakan.Abdullah juga menggunakan kata ganti dirinya ’aku’ dan ’ku.’ Beliau juga memasukkan perkataan-perkataan Inggeris dalam karya-karyanya.
C3 : Perkataan ‘college’ , ‘police’, ‘receipt’, ‘court’ dan ‘institution’. Penggunaan perkataan Inggeris ini adalah suatu perkara baru dalam karya-karya sastera pada zaman tersebut.

F4 : Pembaharuan daripada segi bentuk karya
H4 : Abdullah adalah pengarang Melayu pertama menghasilkan karya berbentuk autobiografi
C4 : Dalam karyanya, Hikayat Abdullah, Kisah Pelayaran Abdullah dan Kisah Pelayaran Abdullah ke Jeddah(tidak siap), beliau menceritakan tentang dirinya, keluarganya serta pengalaman semasa melawat negeri-negeri di pantai timur.

F5 : Pembaharuan daripada segi keberanian mengkritik/memberi komentar
H5 : Beliau mengkritik semua golongan masyarakat khususnya raja-raja Melayu serta masyarakat Melayu di Pahang, Kelantan dan Terengganu
C5 : Beliau mengkritik sikap orang Melayu di pantai timur yang tidak mementingkan  kebersihan, golongan lelaki yang pemalas serta raja-raja dan pembesar-pembesar Melayu yang tidak berpelajaran, rendah akhlaknya serta kejam tingkah lakunya.
  
F6  : Pengarang Melayu pertama mencatatkan/ menulis  nama pengarang pada karya
H6 : Abdullah mencatatkan namanya sebagai pengarang yang bertanggungjawab menghasilkan karya tersebut  Ini berbeza dengan karya-karya sebelum zaman beliau yang tidak diketahui sipengarang karya tersebut.
C6 :  Abdullah mencatatkan  namanya sebagai pengarang dalam karyanya Hikayat Abdullah dan Kisah Pelayaran Abdullah.

F7 : Pengarang pertama mencetak karyanya
H7 : Abdullah menganggap kelebihan karya yang dicetak ialah perkataan yang dicetak itu betul, lebih cepat pekerjaannya, huruf  lebih terang serta harganya murah. Karya yang dicetak dapat disebar luas kepada semua lapisan masyarakat berbanding sebelum ini hanya dinikmati golongan istana sahaja.
C7 : Hikayat Abdullah dicetak/diterbitkan pada 1840. Kisah Pelayaran Abdullah dicetak/ diterbit pada 1838.

Catatan : Mana-mana contoh yang sesuai boleh diterima
Pilih 5 isi sahaja
1 isi = 4m (2m F, 1m H, 1m C)
5 isi = 5 x 4 = 20 markah

BAHAGIAN B  : CERPEN

2. Baca petikan di bawah dan jawab soalan berikutnya:
                       
            “Alangkah baiknya jika kau dikirimkan ke Saga,” kata bapanya
“Memang saya akan ke Universiti Saga, kenapa?” jawab Nilakesuma cepat, diiringi rasa hairan. Dia memandang muka bapanya. Pada sinar mata bapanya itu ada tanda tanya. Ada riak-riak keceriaan menghiasi garis-garis di wajah tua itu. Bibir mulut bapanya bergerak, sebuah senyuman kecil timbul pada kulit mukanya. Nilakesuma, yang di rumahnya dipanggil Nila sahaja, bertambah hairan lalu cepat-cepat berpaling ke kanan mencari jawapan daripada ibunya.
“Kau mahu ke Saga ?  betul ?” Ibunya menyampuk dengan wajah yang juga ceria.
“Betul,” jawab Nilakesuma semakin hairan. “Nah, cuba lihat surat tawarannya,”

(Dipetik daripada Majlis Peperiksaan Malaysia
Mutiara Sastera Melayu Moden
Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, halaman 146)

a) Berikan empat sebab, mengapa ibu bapa Nilakesuma begitu gembira. [8]
b) Huraikan tiga perwatakan Nilakesuma. [9]
c) Jelaskan empat mesej yang hendak disampaikan oleh pengarang. [8]



Skema jawapan

a)    
                F1 : Ibu bapa Nilakesuma gembira kerana Nilakesuma dapat melanjutkan pelajaran ke luar negeri / Jepun.

F2 : Ibu bapa Nilakesuma gembira kerana Nilakesuma dapat melanjutkan pelajaran ke Universiti Saga

F3: Ibu bapa Nilakesuma gembira kerana ingatan mereka kepada Yoshida kembali segar. Ini dapat dilihat apabila ibunya mengeluarkan kotak kecil berisi surat- surat Yoshida.

F4: Ibu bapa Nilakesuma dapat menghubungkan kembali persahabatan mereka sekeluarga dengan Yoshida yang sudah terputus sejak sepuluh tahun yang lalu

F5: Ibu bapa Nilakesuma gembira menceritakan bagaimana terjalinnya hubungan persahabatan antara Yoshida dengan Cikgu Sulaiman, datuk Nilakesuma.

F6: Ibu bapa Nilakesuma gembira kerana dengan perginya Nilakesuma ke Saga bererti mereka akan dapat mengetahui keadaan Yoshida sama ada masih hidup atau meninggal dunia.
      
1 isi = 2m
4 isi x 2m = 8m

b)         
F1 Cerdik / Pandai / Bijak
H/C Nilakesuma dapat melanjutkan pelajaran ke Universiti Saga

F2 Peramah / Mudah Mesra
H/C Senang / mudah berkawan contohnya bila bertemu Anieza dalam kapalterbang

F3 Menghormati Orang Lain

H/C Walaupun kali pertama berjumpa dengan Yoshida, Nilakesuma menghormati keluarga Yoshida / berbicara / berbual tanpa segan silu

F4 Amanah / bertanggungjawab
H/C Nilakesuma menunaikan hajat ibu bapanya untuk pergi mencari Yoshida

F5 Kasih sayang
H/C Nilakesuma sangat kasih dan sayangnya kepada kedua-dua ibu bapanya.

F6 Simpati
H/C Nilakesuma amat simpati dengan apa yang menimpa Nagasaki dan isteri Yoshida.
                  
1 isi = 3m (2mF, 1mH/C)
3 isi x 3m = 9m

c)         
F1 Persahabatan yang ikhlas merentasi ruang litup budaya, bangsa dan negara
H/C Cikgu Sulaiman dan Yoshida bersahabat walaupun berlainan bangsa dan berbeza fahaman terutamanya dalam masa peperangan tetapi dapat mengekalkannya sehingga ke anak cucu.

F2 Peperangan bersifat kejam dan patut dihindari
H/C Yoshida amat merasai penderitaan akibat daripada peperangan khususnya penyakit yang menimpa isterinya akibat ledakan bom atom di Nagasaki dan Hiroshima

F3 Menuntut ilmu menjadi kewajipan pada setiap orang Islam
H/C Nilakesuma sanggup berjauhan dengan keluarga / ibu bapanya semata-mata ingin menuntut ilmu kerana ia wajib bagi orang Islam

F4 Menghormati budaya orang lain
H/C Nilakesuma tetap menghormati budaya orang Jepun. Ini dapat dilihat semasa dia bertemu dengan keluarga Yoshida

F5 Jangan lupa akan sejarah negara
H/C Yoshida melarang mereka mengambil gambar di tugu kerana tidak mahu generasi muda lupa sejarah hitam yang melanda Jepun dalam Perang Dunia Kedua.

F6 Cintakan Tanah Air
H/C Yoshida sangat mencintai tanah airnya sendiri sehingga dia tidak mahu berbicara tentang peperangan / bom atom
    1 isi = 2 markah (F1m/H1m)
    4 x 2 = 8 markah

BAHAGIAN C  : DRAMA 

3. Baca petikan drama di bawah ini, dan jawab soalan-soalan yang mengikutinya.

DAHLAN : Apa boleh buat, sudah suratan takdir. Cukup juga saya mengatur tadbir, tapi kecewa. Takdir juga yang tiba.
            PAK HAMID : Tentu, sebab tadbir kau tadbir bodoh. Kejam.
DAHLAN  : Apa, pak cik? Tadbir bodoh? Sia-sia saya ke England…Sia-sia kelulusan   saya yang saya bawa balik.
PAK HAMID : Memang semua orang tahu kau lepasan sekolah tinggi. Kau lulus ilmu undang-undang. Kau seorang lawyer. Tapi ingat…pelajaran tinggi sahaja tidak berguna kalau tidak disertai dengan pendidikan kebangsaan dan keagamaan. Sebenarnya kau tak ada pendidikan. Kau lulus ilmu undang-undang tapi kau tidak mengikut undang-undang.
            DAHLAN : Tak mengikut undang-undang?

                                (Dipetik daripada Majlis Peperiksaan Malaysia [peny.] 2003.
                                Drama Lawyer Dahlan dalam Mutiara Sastera Melayu Moden.
                                       Kuala Lumpur: DBP, hal. 215)
               
(a) Nyatakan empat urutan peristiwa sebelum dialog di atas diucapkan. [8]
(b) Berikan tiga alasan Dahlan dituduh tidak mengikut undang-undang menurut pandangan Pak Hamid. [9]
(c) Huraikan empat pemikiran yang cuba disampaikan pengarang. [8]

Skema  Jawapan

(a)      
F1  :  Rahimah memarahi Dahlan kerana selalu pulang lewat malam.
F2  :  Dahlan dan Rahimah bertengkar setelah Rahimah menuduh Dahlan mengabaikan rumahtangga mereka.
F3  :  Dahlan menceraikan Rahimah dengan talak satu.
F4  :  Dahlan menghalau Rahimah keluar dari  rumah mereka.
F5  :  Dahlan menghina Rahimah yang berasal dari kampung
F6  :  Dahlan tidak membayar hutang dengan Ah San
1 isi = 2 markah
4 isi = 8 markah

(b)       
F1  : Dahlan menceraikan isterinya yang tidak bersalah
HC : Dahlan telah menceraikan Rahimah yang tidak berdosa setelah Rahimah menegurnya selalu pulang lewat malam dan mengabaikan rumah tangga.

F2  : Dahlan melakukan pecah amanah/rasuah.
H/C : Dahlan menerima suapan RM 10000 daripadaTauke Leong.

F3  : Dahlan tidak/ enggan  membayar hutang
H/C : Dahlan telah berhutang dengan Ah San tetapi tidak membayar hutang tersebut

F4 :  Dahlan menganiayai pekerjanya
H/C : Dahlan mengugut hendak memberhentikan pekerjanya jika mereka tidak memberikan sebahagian gaji mereka kepada beliau.

F5 : Dahlan tidak bertanggungjawab terhadap isteri/ rumahtangga
H/C : Pak Hamid menganggap Dahlan gagal membimbing Rahimah ke jalan yang benar, sebaliknya mempengaruhi Rahimah mengamalkan budaya barat dalam kehidupan mereka.

1 isi 3 markah ( 2m F, 1m H/C)
3 isi x 3 m = 9m

(c)      
F1  :  Sikap mudah lupa diri/ asal-usul.
H/C : Dahlan yang belajar undang-undang di England dan kemudiaannya pulang ke tanah air dan menjadi majestrit. Beliau telah menjadi sombong dan lupa diri. Beliau enggan membantu penduduk kampung, menghina peminta sedekah dan mengamalkan budaya barat dalam kehidupannya.
Rahimah sudah tidak mahu makan lagi ulam-ulaman dan sayur-sayuran dari kampung yang dibawa ibunya setelah berkahwin dengan Dahlan. Rahimah sudah tidak mahu melakukan kerja-kerja di rumah seperti memasak dan mengemas sebaliknya telah mengupah orang gaji untuk melakukan kerja-kerja tersebut.

F2 : Pentingnya pelajaran untuk mengubah taraf hidup
H/C : Pak Hamid telah menggalakkan Dahlan agar melanjutkan pelajaran hingga peringkat yang tinggi. Pak Hamid juga berusaha mendapatkan biasiswa untuk Dahlan melanjutkan pelajaran di England.

F3 : Pengaruh budaya barat dalam kehidupan
H/C : Dahlan dan Rahimah yang pernah tinggal di England telah terpengaruh dengan budaya barat yang negatif dalam kehidupan seharian mereka.Mereka mengamalkan pergaulan bebas, minum minuman keras serta berfoya-foya di kelab malam. Rahimah dan Dahlan juga mempunyai mentaliti/pemikiran semua yang ada di Barat adalah baik.

F4 : Sikap mementingkan diri sendiri
H/C : Dahlan dan Rahimah enggan membantu peminta sedekah dan pengutip derma . Dahlan enggan memberi derma kepada Zakiah dan Rahman untuk membina sekolah rakyat. Dahlan juga enggan memberi ceramah kepada penduduk kampung seperti yang diminta Pak Hamid.

F5 : Sikap tidak mengenang budi/Menderhaka kepada orang tua
H/C : Dahlan dan Rahimah yang telah mendapat kesenangan telah menjadi lupa diri serta melupakan jasa orang yang telah banyak membantu mereka. Dahlan telah menghalau Pak Hamid dari rumahnya setelah Pak Hamid memarahinya kerana telah menceraikan Rahimah. Rahimah pula tidak mengakui ibunya kerana ibunya berasal dari kampung.

F6 : Perbuatan yang salah akan mendapat balasan setimpal/ hukum karma/poetic justice
H/C : Dahlan yang telah menerima rasuah daripada Tauke Leong sebanyak RM10000 telah dihukum penjara selama empat tahun. Rahimah yang menderhaka kepada ibunya telah dihalau dan diceraikan Dahlan. Dahlan yang tidak mendengar nasihat Pak Hamid mendapat balasan rumah tangganya tidak bahagia.

F7 : Pentingnya ilmu agama dalam kehidupan
H/C : Dahlan dan Rahimah telah terpesong jauh daripada ajaran agama dalam kehidupan mereka. Kesannya ialah rumah tangga mereka tidak bahagia dan akhirnya musnah. Dahlan juga cuba membunuh diri tetapi sempat dihalang oleh Pak Hamid.


Pilih empat isi sahaja
1 isi = 2 markah (1mF, 1m H/C)

BAHAGIAN D  : SAJAK 

8.         Baca petikan sajak di bawah dan jawab soalan mengikutinya.

Bulan Berdarah
Nahmar Jamil

Setiap kali kuintip bulan indah
setiap kali ia berubah wajah
bulan yang kukenali kini bukan bulan dulu
bulan yang kupandangi bagai ketuaan ditelan waktu.

Dulu aku bersorak gembira dan tertawa
melihat bulan kanak tidak mengenal diam
dulu aku dikejar rindu, berahi dan dendam
melihat bulan remaja mengepak gagah perkasa.

Bulan yang kukenali kini bulan Islam
bulan yang tidak mengenal geografi bumi
bulan yang tidak mengenali asyabiah putih dan hitam
bulan yang bertanah air akidah bersempadan ukhrawi.

Bulan yang dipandang kini menitis darah dan basah
menitis di negeriku, di Afghanistan, Iran, dan Iraq
menitis di setiap benua di mana berteduh pucuk aqidah
aku tertanya akan hikmahnya kapan berhenti atau tidak.

Bulan berdarah menitis di tubuhku dan aku menangis
bersama rakyat Palestin, Moro, Pattani, Eritrea dan
        semua yang tergilis
aku bertarung di negeri menegakkan manhaj kedaulatan
di tengah sengketa puak antara kebatilan dan kebenaran.

Bulan berdarah menitis dan aku mendepani kurun
kurun serigala menerkam mangsa seperti di Sahara Afrika
tetapi aku bangkit dengan luka tanpa mengenal putus asa
akidahku pantang dicabar meski dijejal mayat bertimbun.

Bulan berdarah menitis dan mata enggan lelap
aku memimpikan arus merah bertukar arus para syuhada
apabila semua dikembalikan kepada janji padu dan tegap
janji kemenangan al-ummah di kehadiran awal keagungannya.

Dewan Sastera, September 1985
Dewan Bahasa dan Pustaka.

(Dipetik daripada Majlis Peperiksaan Malaysia [peny.], 2003.
Mutiara Sastera Melayu Moden
Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, halaman 294-295)
(a)  Dengan memberikan contoh, huraikan tiga mesej yng ingin dikemukakan oleh penyajak dalam sajak dia atas. [9]
(b)  Huraikan empat penilaian anda terhadap gaya bahasa sajak di atas dan kesannya yang memperlihatkan nilai estetik. [16]
                                              
Skema Jawapan

(a) 
F1 Penyajak cuba menyedarkan masyarakat Islam agar menghentikan peperangan sesama sendiri.

H/C 
Bulan yang dipandang kini menitis darah dan basah
menitis di negeriku, di Afghanistan, Iran, dan Iraq
menitis di setiap benua di mana berteduh pucuk akidah 
aku tertanya akan hikmahnya kapan berhenti atau tidak.


F2 Penyajak menyeru umat Islam bangun berusaha menegakkan kedaulatan Islam.

H/C 
Bulan berdarah menitis di tubuhku dan aku menangis
bersama rakyat Palestin, Moro, Pattani, Eritrea dan
       semua yang tergilis
aku bertarung di negeri menegakkan manhaj kedaulatan
di tengah sengketa puak antara kebatilan dan kebenaran.


F3 Penyajak mengharapkan semua umat Islam bersemangat kental menentang segala bentuk cabaran, berjuang mempertahankan Islam.

H/C 
Bulan berdarah menitis dan aku mendepani kurun
kurun serigala menerkam mangsa seperti di Sahara Afrika
tetapi aku bangkit dengan luka tanpa mengenal putus asa
akidahku pantang dicabar meski dijejal mayat bertimbun.


F4 Penyajak mengharapkan semua perjuangan umat Islam akan mencapai kemenangan.

H/C 
Bulan berdarah menitis dan mata enggan lelap
aku memimpikan arus merah bertukar arus para syuhada
apabila semua dikembalikan kepada janji padu dan tegap
janji kemenangan al-ummah di kehadiran awal keagungannya.

1 isi = 3m (2m F, 1m H/C)
3 isi = 3 x 3m = 9 markah


(b)

F1 Asonansi
H Perulangan bunyi vokal dalam baris sajak.
C aku memimpikan arus merah bertukar arus para syuhada
*Atau mana-mana contoh yang sesuai.
K Untuk menimbulkan kemerduan bunyi / kelembutan bunyi / keindahan bunyi

F2 Aliterasi
H Perulangan bunyi konsonan dalam baris sajak.
C aku tertanya akan hikmahnya kapan berhenti atau tidak.
*Atau mana-mana contoh yang sesuai.
K Untuk menimbulkan kesan bunyi keras / kasar / lantang.

F3 Anafora
H Perulangan perkataan di awal baris yang sejajar / berturutan

Bulan yang kukenali kini bulan Islam
bulan yang tidak mengenal geografi bumi
bulan yang tidak mengenali asyabiah putih dan hitam
bulan yang bertanah air akidah bersempadan ukhrawi.
K Menimbulkan kesan penegasan maksud / menimbulkan keindahan irama

F4 Perulangan
H Perulangan perkataan/kata dalam baris yang sama
C bulan yang kukenali kini bukan bulan dulu
K Menimbulkan keindahan irama dan bunyi / menegaskan maksud

F5 Personifikasi
H Pemberian sifat manusia pada binatang, tumbuhan atau benda bukan hidup
C Bulan berdarah menitis di tubuhku dan aku menangis
K Menggerakkan imaginasi pembaca / menghidupkan gambaran suasana sunyi.

F6 Simile
H Membandingkan sesuatu keadaan, suasana atau benda lain. Setiap perbandingannya diikuti oleh kata-kata: seperti, bak, bagai, laksana, umpama.
C bulan yang kupandangi bagai ketuaan ditelan waktu.
K Menimbulkan kesan penegasan maksud / menimbulkan keindahan irama

F7 Hiperbola
H Pernyataan yang dibuat secara berlebih-lebihan dalam usaha menekankan sesuatu pandangan, idea atau peristiwa.

Bulan berdarah menitis dan aku mendepani kurun
aku memimpikan arus merah bertukar arus para syuhada
K Untuk memukau pembaca / menimbulkan imaginasi pembaca

F8 Metafora
H Penggunaan kata-kata yang menerbitkan makna lain daripada makna tersurat atau disebut bahasa kiasan. Gabungan kata konkrit dan abstrak.
C menitis di setiap benua di mana berteduh pucuk aqidah
K Bahasa bandingan untuk menggerakkan imaginasi pembaca / menghidupkan perasaan pembaca.

1 isi = 4m (1mF, 1mH, 1mC, 1mK)
4 isi = 4 x 4m = 16 markah

1 comment: