Membunuh Mimpi oleh : Usman Awang
Rangkap 1
Penyajak menyampaikan beberapa pesanan kepada anak gadisnya Mayawati yang sudah meningkat usia remaja, supaya mengikis perasaan malu, perasaan rindu dan impian yang mengasyikkan. Semuanya adalah bukan realiti dalam kehidupan sebenarnya.
Rangkap 2
Impian dan harapan adalah keanihan ciptaan Tuhan untuk manusia. Tetapi jika ianya tidak ditangani dengan betul akan membawa padah, jiwa jadi resah gelisah dan mereka akan kecewa apabila impian yang diharap-harapkan itu berlainan daripada kenyataan hidup sebenarnya. Ini kerana kehidupan yang sebenarnya adalah kehidupan yang penuh dengan keganasan dan kekejaman.
Rangkap 3
Penyajak berharap agar anak gadisnya jangan mengikut jejak langkahnya yang selama ini selalu mengimpikan hidup ini penuh dengan keindahan dan mengasyikkan. Bagi penyajak baru kini dia sedar tentang realiti kehidupan yang sebenarnya.
Rangkap 4
Penyajak berharap agar anaknya tidak terlalu bergantung kepada impian indah yang di luar dunia nyata kerana impian adalah pembohongan dalam dunia khayalan yang penuh fantasi.
Rangkap 5
Dalam menghadapi realiti kehidupan yang lebih mencabar, penyajak berharap agar anaknya itu menanamkan semangat keberanian dan kecekalan hati serta mempunyai ketinggian ilmu pengetahuan.
Pada Setiap Kali Kau Tiba, Ogos oleh: Kemala
Rangkap 1
Pada setiap kali tibanya bulan kemerdekaan rakyat Malaysia akan mengenangkan kembali tarikh negara kita mencapai kemerdekaan yang menandakan negara kita sudah bebas dan menjadi sebuah negara yang bermaruah dan berdaulat. Detik-detik hitam di bawah belenggu penjajahan telah berlalu dan yang tinggal kini menjadi lipatan sejarah untuk dikenang pada masa hadapan.
Rangkap 2
Dalam usaha mencapai kemerdekaan, para pahlawan dan pemimpin sanggup berkorban / gugur demi untuk melihat tanah air merdeka. Kenangan terhadap mereka mengundang rasa sedih kerana kesanggupan mereka berkorban demi untuk melihat negara tercinta bebas dari belenggu penjajah.
Rangkap 3
Bila menjelangnya bulan kemerdekaan generasi baru tidak lagi mengenangnya sebagai satu bulan yang penting kerana dalam kehidupan moden yang penuh dengan dugaan dan cabaran menyebabkan perjuangan menuntut kemerdekaan sudah tidak lagi menjadi satu isu / peristiwa yang penting untuk diingati.
Rangkap 4
Penyajak berharap agar bulan Ogos (kemerdekaan) akan membawa kesedaran perlunya semangat nasionalisme dan patriotisme dipupuk dalam kalangan generasi muda
Pengait Tua oleh Muhammad Haji Salleh
Rangkap 1
Penyajak menceritakan tentang seorang wanita tua yang duduk di atas bangku di tepi pantai. Dia sudah lama berada di situ sehinggakan kakinya sudah terbenam di dalam pasir
Rangkap 2
Pada usia mudanya, wanita itu telah mendidik dan membesarkan anak-anaknya dengan segala usaha walaupun terpaksa berkorban demi untuk kelangsungan/ kesejahteraan hidup anak-anaknya. Harapannya agar anak-anaknya yang tinggal jauh akan kembali nanti bersama cucu-cucunya bagi mengubat rindu. Tetapi malangnya mereka tak kunjung tiba .
Rangkap 3
Perempuan itu tetap sabar dan setia menunggu tanpa mempedulikan orang dia tetap menunggu dan menanti
Keindahan yang Hilang oleh Shamsuddin Jaafar
Rangkap 1
Kedengaran bunyi kicauan burung undang tua, yang berada dalam keadaan yang menyedihkan akibat pencemaran udara dan air.
Rangkap 2
Sebelumnya flora dan fauna masih terjaga dan terpelihara. Suasana sungai yang jernih dan indah, dengan hutan yang masih belum diterokai menjadikan kita menyintai kedamaian
Rangkap 3
Tapi kini segala-galanya telah berubah. Semuanya telah musnah dan tiada lagi keindahan.
Rangkap 4
Dunia sains yang semakin canggih dan segala kemajuan yang dicapai menyebabkan manusia boleh meneroka cakerawala dan angkasa lepas.
Rangkap 5
Kehidupan burung-burung semakin terhimpit oleh situasi kotor yang mengakibatkan sungai turut tercemar. Siapakah nanti akan bertanggungjawab bagi memberikan penjelasan kepada generasi akan datang atas kemusnahan ini.
Rangkap 6
Keadaan sekarang tidak lagi seindah seperti pada waktu-waktu dahulu
Kunci oleh : T.Alias Taib
Rangkap 1
Dengan segala kudrat yang ada pada diri penyajak, dia cuba untuk meluahkan perasaan tentang keperitan/kesusahan hidup yang sekian lama terpendam dalam lubuk hatinya yang sebelumnya cuba diselindungi. Beliau juga mahu menyatakan segala-galanya tentang keperitan hidup yang dialami. Tujuannya agar semua tahu / faham walaupun dalam kesejahteraan tetapi masih ada yang berlapar, walaupun dirinya dikelilingi dengan dunia yang mewah dan makmur.
Rangkap 2
Dengan segala keupayaan yang ada penyajak cuba juga untuk mencari jalan bagi mengatasi pelbagai dugaan serta kesedihan dan harapannya yang masih tidak mendapat perhatian. Senario ini seperti cerita seorang buruh yang terpaksa bekerja keras walaupun penuh kotoran namun tetap berusaha menampung sisa-sisa kehidupannya. Beliau hanya berupaya berserah kepada nasib tentang masa depannya dan mengharapkan doa daripada kawan-kawannya
Rangkap 3
Dengan pancaindera mata, penyajak dapat melihat kehidupan ini penuh keanihan dan penuh tanda tanya yang memang sukar lagi menyulitkan umpama ketika mendaki puncak Kinabalu yang penuh ranjau semata-mata mahu mencapai segala apa yang dicita-citakannya.
Rangkap 4
Penyajak yang dibelenggu dengan pelbagai masalah mengambil langkah membuang semua masalah tersebut jauh dari pemikirannya.
Doa Terakhir oleh : Zaihasra
Rangkap 1
Penyajak menceritakan pengalamannya ketika bersama ibu yang disayanginya disaat kematian ibunya. Perasaan sedih tidak dapat disembunyikan saat ibunya hendak meninggal dunia .
Rangkap 2
Penyajak mengenang kembali kehidupan silam ibunya yang penuh dengan pelbagai cabaran dan rintangan dalam membesarkan anak-anaknya. Namun penyajak berasa kecewa kerana penyajak tidak dapat membalas jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh ibunya. Penyajak turut berasa kesal kerana kini ibu yang disayanginya telah meningggalkannya.
Rangkap 3
Penyajak melahirkan perasaan sedihnya, penyajak turut memohon maaf daripada ibunya kerana mungkin selama ini ada perbuatanya yang telah melukakan hati ibunya. Penyajak sedar akan cubaan dan dugaan yang terpaksa dilalui oleh ibunya semasa hidupnya menyedarkan dan menginsafkan penyajak kemungkinan penyajak telah melakukan kesalahan terhadap ibunya.
Rangkap 4
Penyajak redha dengan kematian ibunya, peritiwa tersebut telah membangkitkan semangat penyajak untuk menempuh kehidupan yang mendatang.
Rangkap 5
Kenangan dan ingatan terhadap ibunya yang tercinta memanggilnya untuk pulang ke kampung halaman setelah sekian lama merantau.
Rangkap 6
Penyajak menyatakan walaupun mereka terpisah namun perasaan sayang dan kasih kepada ibunya tetap abadi, dalam setiap doanya, penyajak berharap agar ibunya sentiasa berada dalam ketenangan dan kedamaian dan penyajak pasti di akhirat mereka pasti akan bertemu.
Bulan Berdarah oleh Nahmar Jamil
Rangkap 1
Penyajak menganggap bulan sebagai agama Islam yang suci dan penuh kecantikan. Namun ada sahaja perkara-perkara yang berlaku sehingga ia mengalami perubahan. Ianya tidak lagi seperti dulu. Semuanya menjadi lapuk ditelan masa.
Rangkap 2
Pada waktu zaman kanak-kanak penyajak gembira dan bahagia menerima Islam dan perasaannya lebih bersemangat semasa remaja melihat kebangkitan Islam.
Rangkap 3
Penyajak melihat bulan sebagai lambang agama Islam yang mana ianya dianuti oleh seluruh umat tanpa adanya sempadan. Islam agama yang tidak mementingkan puak mahupun warna kulit. Islam yang diterima sejak dulu menjadi asas kehidupan yang berakhlak berteraskan kepercayaan wujudnya akhirat.
Rangkap 4
Islam sekarang dilanda peperangan yang membawa kepada kematian. Kesedihan itu turut dirasai di negara kita dan berlaku juga di Afghanistan, Iran dan Iraq. Kesedihan ini turut dikongsi bersama dengan umat Islam seluruh dunia. Penyajak mempersoalkan bilakah kesudahannya nanti.
Rangkap 5
Penyajak berasa sedih sehingga menitiskan air mata hiba bersama nasib mangsa perang Palestin, Moro, Pattani, Eritra yang ditindas dan dizalimi sedangkan di negara kita Islam agama yang dinobatkan menjadi perbalahan antara pihak kepalsuan dan kebenaran.
Rangkap 6
Islam menjadi mangsa kezaliman sejak zaman dahulu lagi seperti keadaan umat Islam di timur tengah yang terus menderita dan tertindas tetapi penyajak terus berjuang tanpa putus asa dan teguh dalam mempertahankan akidah walaupun menemui kematian.
Rangkap 7
Keadaan umat Islam yang tertindas menyebabkan penyajak tidak dapat melelapkan mata dan penyajak berharap agar para pejuang yang gugur syahid itu menjadi penghuni syurga yang dijanjikan kemenangan seperti umat Islam pada awal zaman perkembangan syiarnya.
Laut oleh : J.M.Aziz
Rangkap 1
Bagi penyajak laut adalah tempat dia membina kehidupan / mencari rezeki untuk hidup yang membebaskan dirinya dari keperitan hidup.
Rangkap 2
Penyajak juga merasakan laut adalah sesuatu yang sukar tetapi penuh bererti dalam hidupnya sebagai nelayan.
Rangkap 3
Bagi penyajak laut adalah harapannya untuk terus hidup walaupun penuh kepayahan dan penderitaan hidup.
Rangkap 4
Walaupun sukar dan susah kerana cabaran di laut yang penuh dengan pancaroba, namun ia tetap memberikan suntikan semangat motivasi bagi nelayan berjiwa kental tetap tabah untuk terus berusaha walaupun terpaksa berdepan dengan rintangan dan halangan.
Rangkap 5
Laut adalah tempat nelayan mencari pendapatan sama ada nelayan pinggir pantai atau nelayan laut dalam. Laut menjanjikan sumber rezeki daripada Ilahi yang tidak dapat dinilai serta terjangkau oleh akal fikir manusia.
Rangkap 6
Laut membawa ketenangan dan kedamaian dari segi hiruk pikuk kota dan laut adalah tempat para nelayan bergantung nasib.
Sewaktu Melintasi Kundasang oleh : Lim Swee Tin
Rangkap 1
Penyajak menceritakan pengalamannya ketika melalui daerah Kundasang di kaki gunung Kinabalu dengan sinaran cahaya matahari yang memancarkan cahayanya, menjadikan kawasan Kundasang tempat yang subur dengan sayuran tanah tinggi. Kedamaian dan keharmonian tempat itu menceriakan perasaan penyajak kerana Kundasang masih mengekalkan warisan alam yang masih belum diterokai.
Rangkap 2
Kehidupan penyajak di kota yang sibuk dan nilai-nilai kemanusiaan sesama manusia yang semakin hilang. Penyajak berasa kagum dengan ciptaan Tuhan yang mendamaikan walaupun Kundasang masih belum moden namun tempat itu adalah tempat yang cukup membahagiakan penyajak.
Rangkap 3.
Suasana di Kundasang yang sejuk dengan jalan-jalan yang berliku. Angin dingin sentiasa bertiup mengusapi pohon-pohon, longgokan batu dan serpihan tebingnya. Ketika melintasi kawasan Kundasang, terasa oleh penyajak akan kelembutan suasananya yang kalau boleh digunakan untuk mengubah watak kasarnya.
Ke Ruang Katarsis oleh : Zaen Kasturi
Rangkap 1:
Setelah sekian lama di buai lena dan mimpi indah yang penuh dengan harapan tidakkah kita mempelajari sesuatu dari sejarah silam tentang perjuangan dan pengorbanan serta kesengsaraan para pejuang yang terdiri daripada nenek moyang kita, kealpaan kita pastinya akan menyebabkan mereka sedih dan kecewa.
Rangkap 2:
Kebimbingan serta kerisauan terhadap generasi muda yang lupa akan sejarah silam pasti merebak hingga ke kawasan pedalaman dan akan menjadi ancaman kepada anak watan.
Rangkap 3:
Mungkin kitalah bangsa yang hanya mengejar impian kosong kerana sanggup merelakan orang luar mendapatkan hasil mahsyul yang ada di negara kita, sehingga kita menjadi bangsa yang merempat di negara sendiri.
Rangkap 4:
Ketakutan dan kebimbangan sebenarnya hanyalah pada pandangan kita,dan seringkalinya ia dilafazkan hingga ianya menjadi semakin merebak.
Rangkap 5:
Kita tidak pernah mempersoalkan tentang insan yang tidak menerima hakikat kejadian insan itu sendiri yang sukar untuk berubah demi nilai-nilai baik. Masih ada lagi insan yang memperkatakan tentang keagungan dan kemuliaan bangsa kita. Tetapi kita sering terlupa bahawa suatu masa dahulu kita adalah bangsa yang berdaulat.
Rangkap 6:
Negara kita pernah berdepan dengan peristiwa duka dan kesengsaraan hingga ianya meninggalkan kesan yang amat mendalam sehingga mengugat pegangan bangsa mengakibatkan beralih arah tujuan hidup bangsa.
Rangkap 7:
Suatu hari nanti kita pasti akan menguburkan bangsa sendiri jika membiarkan anak bangsa terus menagih dadah. Mereka umpama mayat yang menimbulkan kesulitan untuk menempatkan mereka sama ada untuk mengasingkan mereka terus ke suatu kawasan yang jauh terasing dari masyarakat. Padahal kita mempunyai ramai cerdik pandai yang boleh menyumbangkan idea bagi mengatasi masalah tersebut. Sanggupkah kita menyesal dikemudian hari jika kita tidak berbuat sesuatu sekarang.
Rangkap 8
Jika kita tidak lakukan sesuatu kita pasti akan menyaksikan bangsa kita akan hilang pengaruhnya, suara bangsa kita tidak akan diberi perhatian dan ini sangat menyedihkan.
Rangkap 9:
Ayuh wahai anak bangsa kita cari ketenangan dan kedamaian, kerana kita perlu perjuangkan maruah bangsa agar kita menjadi bangsa yang dihormati dan disegani.
Rangkap 10:
Perihalkanlah kepada generasi muda hakikat kehidupan sebenar agar mereka mengerti erti kehidupan , berikan mereka harapan yang tinggi serta berikan juga ilmu agama agar kehidupan mereka selamat.
Kuali Hitam oleh : Zurinah Hassan
Rangkap 1
Sebiji kuali yang sudah hitam warnanya menjadi teman ibu penyajak siang dan malam.
Rangkap 2
Kuali hitam yang digunakan untuk memasak itu menjadi penghibur ibu dan ketika itu penyajak dan adik-beradiknya menunggu untuk makan.
Rangkap 3
Kuali hitam itu sudah lama digunakan.
Rangkap 4
Ibu menyayangi kuali hitam itu. Lengan ibu pernah diserap abu hitam manakala mata ibu pernah dimasuki serbuk arang. Dahi dan kulit ibu pernah cedera ketika menggunakan kuali hitam itu.
Rangkap 5
Ibu bahagia jika dapat menghidangkan makanan yang dimasak menggunakan kuali itu. Ibu lebih bahagia apabila melihat penyajak dan adik-beradiknya kekenyangan.
Rangkap 6
Apabila penyajak dan adik-beradiknya terlena kekenyangan, mereka tidak dapat mendengar ibu batuk dan sesak nafas.
Rangkap 7
Kuali itu sangat lama berjasa sehinggalah mereka dewasa.
Rangkap 8
Di rumah penyajak, tidak ada kuali hitam seperti di rumah ibunya. Penyajak menggunakan kuali non-stick. Kuali itu mahal dan dijaga rapi oleh penyajak.
Rangkap 9
Ibu bertandang ke rumah penyajak di bandar. Ibu yang rajin telah memasak untuk penyajak sekeluarga.
Rangkap 10
Selepas memasak, ibu menyental kuali itu dengan berus yang kasar. Penyajak menjerit kerana ibu telah merosakkan kuali itu.
Rangkap 11
Ibu mendiamkan diri dan penyajak tahu bahawa hati ibunya tersentuh. Wajah penyajak yang bengis membuatkan ibu mungkin menangis.
Rangkap 12
Penyajak menyesali keterlanjurannya terutama setelah ibu meninggal dunia. Penyajak juga menyesal kerana dia seolah-olah mengukur nilai kasih sayang dengan harga sebiji kuali.
Rangkap 13
Tidak ada apa-apa lagi di rumah ibu penyajak. Kuali hitam yang tinggal terbiar begitu sahaja. Penyajak mempersoalkan, adakah dia dan adik-beradiknya dapat menghitung nilai kasih sayang ibu mereka.
www.sibermerdeka.com.my oleh A.Ghafar Ibrahim
Rangkap 1
Dalam diri penyajak, terdapat banyak perancangan bagi membebaskan segala macam masalah / kesusahan yang terpaksa ditempuhi.
Rangkap 2
Dalam pemikiran penyajak, penyajak cuba mencari jalan penyelesaian agar kehidupannya tidak mudah dipergunakan.
Rangkap 3
Dalam kehidupan penyajak sering berdepan dengan dugaan dan rintangan untuk menguji kesabaran dan keimanan
Rangkap 4
Walaupun berasa dirinya hebat, namun seringkali juga penyajak terpedaya dengan godaan nafsu
Rangkap 5
Penyajak sentiasa berusaha untuk memperbaiki dirinya dengan tekad untuk berubah ke arah kebaikan.
Rangkap 6
Dalam meniti usia dewasa, penyajak semakin matang dan tidak mudah panik serta terpengaruh dengan kata-kata.
Rangkap 7
Dalam era globalisasi, penyajak sentiasa muhasabah diri mencari erti kehidupan agar perjuangan tidak mudah tewas.
Rangkap 8
Apabila tiba waktunya, penyajak harus bersedia menghadapi kenyataan hidup yang bersifat sementara. Kenangan demi kenangan berlalu begitu sahaja, nasihat penyajak agar kita tidak mempersia-siakan hidup dengan mengabadikan diri pada tuhan.
Semoga segala usaha yang kita lakukan selama ini
akan membuahkan hasil yang lumayan…….tak ternilai…
Selamat maju jaya dalam peperiksaan.
No comments:
Post a Comment